fbpx

SAM bimbang projek kereta kabel jejas alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ilustrasi artis mengenai gambaran projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang dijangka siap tiga tahun lagi.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) mahu kerajaan negeri melaksanakan penilaian kesan alam sekitar dan sosial yang terperinci sebelum memulakan projek Kereta Kabel Bukit Bendera kerana dikhuatiri menjejaskan alam sekitar di kawasan berkenaan.

Presidennya, R. Meenakshi berkata, penilaian kesan alam sekitar itu perlu dilaksanakan mengikut undang-undang dan mesti melibatkan perundingan awam yang telus.

”SAM berasa amat bimbang apabila Ketua Menteri mengumumkan bahawa projek kereta kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn Bhd, dan akan ditempatkan di kawasan Taman Botani.

”Kebimbangan kami dalam menentang projek ini adalah berdasarkan kepada keperluan untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan biodiversiti, pengurusan dan pemuliharaan Bukit Bendera memandangkan pengiktirafannya sebagai Rizab Biosfera UNESCO,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hari ini berkata, permohonan cadangan projek (RFP) untuk projek Kereta Kabel Bukit Bendera telah dianugerahkan kepada Hartasuma Sdn. Bhd. (Hartasuma) dan projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta itu dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Menurut Meenakshi, pihaknya amat mengambil berat tentang kesan alam sekitar dan sosial termasuk kesesakan lalu lintas semasa pembinaan kereta kabel serta penyelenggaraannya, yang melibatkan stesen bawah sehingga ke stesen atas Bukit Bendera.

”Bukit Bendera dan Taman Botani merupakan ekosistem alam sekitar yang sangat sensitif, kami amat bimbang projek kereta kabel akan menjejaskan kawasan sensitif ini.

”Sepatutnya objektif kerajaan negeri adalah menghadkan bilangan pelancong di Bukit Bendera, memandangkan keperluan alam sekitar dan kita tidak memerlukan lebih banyak produk pelancongan serta lebih ramai pengunjung di atas Bukit Bendera,” katanya.

Tambahnya, pihaknya menentang projek kereta kabel itu memandangkan kapasiti Bukit Bendera dalam menampung jumlah pengunjung adalah terhad.

”Kajian pra-kebolehlaksanaan untuk projek kereta kabel yang menyatakan bahawa sejumlah 6,463 orang boleh berada di kawasan ini pada satu-satu masa hanya untuk mewajarkan projek kereta kabel ini.

”Kebimbangan kami adalah perkembangan ekonomi menerusi projek kereta kabel akan menyebabkan lebih ramai pelancong di atas Bukit Bendera sehingga melebihi kapasiti maksimum 4,800 orang pada satu-satu masa seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Khas Kawasan (SAP) 2016,” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, selain daripada kesan alam sekitar dan sosial, kerajaan negeri telah menganugerahkan konsesi 30 tahun kepada syarikat yang akan melaksanakan projek kereta kabel itu.

“Berapakah caj tiket yang akan dikenakan kepada orang ramai berhubung perkara ini? Kerajaan negeri perlu telus berhubung kebimbangan ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI