fbpx

Rapper Singapura, YHB rujuk kamus dewan tulis lirik bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAPPER kelahiran Singapura, YHB Sleepsalot mengakui penguasaan bahasa Melayunya lemah namun semakin baik hari demi hari disebabkan muzik hip-hop.

PETALING JAYA – Penyanyi rap muda kelahiran Singapura, YHB Sleepsalot mengakui terpaksa merujuk kamus demi menulis lirik dalam bahasa Melayu.

YHB atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Husaini Saliman mendedahkan, dia sememangnya tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu namun apabila menulis lirik dalam bahasa tersebut, lain ceritanya.

“Di bilik saya, ada Kamus Dewan berwarna merah. Kalau nak tulis lirik, kadang-kadang saya cuma selak kamus helaian demi helaian.

“Tengok perkataan apa yang saya tak pernah dengar sebelum ini, datanglah idea. Kadang-kadang, saya rujuk Google Translate juga,” kata rapper yang berusia 21 tahun itu kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Muncul dengan single baharu berjudul Tukar Currency, YHB memberitahu, bahasa Melayunya sememangnya lemah namun menerusi muzik hip-hop, dia dapat memperbaiki penguasaan bahasa yang disifatkannya indah itu yang semakin lama, semakin ditelan zaman terutama di kota metropolitan pesat membangun seperti Singapura.

“Secara semulajadinya, memang saya tak berbual dalam bahasa Melayu sebab tiada banyak peluang untuk berbuat demikian di Singapura.

“Sungguhpun begitu, kalau saya tulis lagu atau lirik, memang saya betul-betul duduk di meja dan letakkan fokus penuh. Kemudian, barulah saya tulis (lirik) dalam bahasa Melayu,” katanya lagi.

Tukar Currency merupakan karya terbaharu daripada YHB (featuring Nakalness). Lagu ciptaan RIIDEM, SonaOne dan YHB itu sendiri merupakan edaran syarikat rakaman, Universal Music. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI