fbpx

Mayat berulat dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mayat wanita warganegara Kanada yang ditemui di tepi timbunan kotak tisu yang berselerak di sebuah rumah di Synergy Square, Jalan Matang, Padawan

PADAWAN – Seorang wanita warganegara Kanada ditemui meninggal dunia dengan keadaan mayat sudah berulat di sebuah rumah di Synergy Square, Jalan Matang di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat warga emas itu kira-kira pukul 4 petang hari ini.

Katanya laporan dibuat seorang wanita tempatan yang memberitahu terhidu bau busuk di tingkat bawah kediaman sewanya di Blok G Synergy Square.

Susulan itu, katanya anggota dari Balai Polis Batu Kawa telah digerakkan ke lokasi dan mereka terpaksa mengumpil pintu hadapan rumah wanita terbabit dengan besi kerana berkunci dari dalam.

“Sebaik saja pintu hadapan rumah berjaya dibuka, terdapat timbunan kotak tisu dalam rumah berkenaan.

“Mayat simati dijumpai terbaring terlentang di tepi timbunan kotak tisu yang berselerak.

“Keadaan simati ketika dijumpai telah berulat dan bahagian muka dalam keadaan tidak sempurna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata berdasarkan maklumat daripada pengadu di lokasi kejadian, wanita itu tinggal berseorangan dan dipercayai tinggal di rumah berkenaan lebih kurang 10 tahun.

Katanya turut dijumpai pasport wanita itu, yang dikenali sebagai Tan Onn Har dan berusia 82 tahun.

“Pasukan perubatan daripada Hospital Umum Sarawak yang hadir ke lokasi kejadian mengesahkan kematian simati dan tiada sebarang tanda-tanda jenayah mahupun penemuan objek tajam atau tumpul di tempat kejadian iaitu di atas katil wanita itu dijumpai mati,” katanya.

Abang Zainal menambah mayat mangsa telah dihantar ke bilik mayat Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Justeru, katanya usaha mengesan ahli keluarga mangsa sedang dilakukan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan polis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI