fbpx

Tiada ‘badai’ lemahkan semangat Shaharin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Air tangan Shaharin yang menawarkan menu nasi kandar Melayu mendapat sambutan menggalakkan.

BALING – Penat dan lelah, terganggu dengan kerenah pekerja, terkesan dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam fasa pandemik serta sakit sehingga terpaksa berkerusi roda ekoran perbuatan sihir, bukan batu penghalang buat seorang usahawan kerana minatnya yang menggunung tinggi dalam perniagaan khususnya bidang makanan dan minuman mengatasi segala-galanya.

Shaharin Ahmad, 50, berkata, jatuh bangunnya dalam bidang perniagaan sejak tahun 2000 menjadi ‘universiti’ paling mahal buat dirinya dan sentiasa berusaha untuk keluar dari setiap masalah yang dihadapinya.

Diiringi dengan doa dan ikhtiar serta tawakal kepada Allah, itu sahaja mampu dilakukan bagi memperoleh kekuatan semangat untuk kelangsungan hidupnya.

“Isteri, Rodziah Dochik, 48, bersama empat orang anak adalah tunjang dan semangat saya untuk sentiasa bangkit dan terus berjuang mencari rezeki selagi khudrat saya masih ada dan kuat,” katanya ketika ditemui di Medan Bayeng di Kampung Bawah Gunung di sini baru-baru ini.

Fasa kemuncaknya adalah pada tahun 2013 semasa beliau berniaga ayam golek di Jinjang, Selangor kerana berjaya menjual antara 100 hingga 150 ekor ayam sehari.

Kejayaan yang dikecapi tidak berpanjangan kerana dirinya jatuh sakit secara tiba-tiba hingga terpaksa berkerusi roda dan berusaha mendapatkan rawatan secara moden dan perubatan Islam.

Tidak gentar dengan ujian tersebut, beliau beralih ke Kepong dengan menawarkan nasi ayam golek.
Usahanya itu berjaya dan perniagaan tersebut masih bertahan sehingga kini serta telah diuruskan oleh kakitangannya sementara beliau dan isteri sibuk menguruskan perniagaan di kampung halaman mereka di Baling, Kedah.

Bercerita lanjut tentang perjalanan kerjayanya, Shaharin atau lebih dikenali sebagai Ba­yeng Black itu, beliau mula menjual nasi kandar hasil air tangan orang Melayu semasa balik ke kampung pada tempoh PKP.

Di sini hanya satu-satunya nasi kandar Melayu kerana ke­biasaannya bisnes nasi kandar di monopoli golongan mamak ataupun India Muslim.

“Atas arahan kerajaan, kami terpaksa menutup sementara perniagaan nasi ayam golek di Kuala Lumpur lantas balik ke kampung di Baling. Oleh kerana terlalu lama tempoh ‘berkurung’, kami cuba berniaga di sini untuk meneruskan kelangsungan hidup,” jelasnya.

Bermula di situ, Shaharin membuka kedai makan menjual nasi kandar atas nama Medan Bayeng di sini dengan modal permulaan sebanyak RM60,000.

Pelaburan yang tinggi bagi memulakan perniagaan baharu nasi kandar itu terpaksa membuatkan pasangan ini melupakan sementara niat asal untuk membina rumah di kampung berkenaan.

Selain itu, Shaharin juga mendapat idea untuk menyediakan menu mi udang di premis ber­kenaan dan mendapat bekalan udang segar daripada beberapa nelayan di sekitar Kuala Muda dan Yan.

Kesedapan mi udang itu telah diuar-uarkan secara spontan melalui media sosial pe­langgan masing-masing sehingga menjadi tular sekali gus menarik orang luar berkunjung ke Baling untuk menikmati menu enak tersebut.

Harga sepinggan mi adalah antara RM15 hingga RM25 bergantung kepada saiz dan kuantiti udang.
Selain menu mi udang, pe­ngunjung boleh menikmati makanan lain seperti shell out, char kuetiau dan kuetiau kerang.

Bagaimanapun, menyedari berniaga dalam fasa pandemik, kekangan pelbagai sekatan daripada kerajaan telah membatasi perniagaan usahawan ini sehingga terpaksa menutup perniagaannya hampir lima bulan.

Selepas ekonomi mula dibuka secara berperingkat-peringkat, Shaharin berdepan pula dengan masalah pekerja kerana ramai yang telah bekerja di kilang untuk memperoleh pendapatan tetap setiap bulan.

Bermula di situlah fasa kejatuhan Shaharin yang amat drastik sehingga terpaksa mengubah strategi antaranya dengan menjual nasi lemak dan bubur nasi serta kuih-muih.

Selain itu, bagi menambah pendapatan bulanan, usahawan ini telah menceburi bidang pembuatan ‘sambal gamit’ iaitu sambal yang dimakan bersama nasi lemak kerana pe­langgan setianya suka membeli sambal itu sahaja

“Jadi, apa salahnya saya cuba mengkomersialkan sambal gamit ini dan permintaannya amat menggalakkan meskipun baharu sebulan berada di pasaran,” kata Shaharin.

Sambal gamit ini adalah resipi dan hidangan istimewa bagi keluarga isterinya dalam hidangan nasi sebagai penambah selera.

Ia diperbuat daripada campuran cili padi, bawang putih dan bawang merah serta lain-lain lagi bahan perasanya dimasak selama enam jam yang mana sambal tersebut menjadi pencetus selera untuk dinikmati bersama nasi putih.

“Ia dipanggil sambal gamit kerana rasa dan kesedapannya sentiasa memanggil-manggil penggemar untuk makan dengan apa sahaja makanan selain nasi, roti, pulut dan sebagainya.

“Ada dua jenis sambal yang dijual iaitu sambal ikan bilis dan sambal gamit yang pedas dengan harga RM15 sebotol,” ujarnya.

Shaharin berharap sambal gamit dan sambal bilisnya itu nanti akan dapat menembusi pasaran di dalam dan juga luar negara kerana ia amat sesuai dibawa untuk perjalanan jauh seperti menunaikan haji dan umrah serta melancong ke luar negara. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI