fbpx

Tempoh lantikan Pengerusi Finas hak istimewa Menteri – Zurainah Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUGAS Zurainah Musa sebagai Pengerusi Finas ditamatkan serta-merta pada 8 Disember lepas.

PETALING JAYA –  Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengesahkan tempoh perkhidmatan jawatan tersebut dipendekkan bawah prerogatif atau hak istimewa Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Ahli Dewan Negara itu dalam kenyataan semalam memaklumkan menerima surat berhubung perkara tersebut daripada Pejabat Menteri.

Perkara tersebut selaras dengan kuasa Menteri di bawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

“Selaku menteri baharu, perkara ini adalah prerogatif beliau. Saya memahami sebagai pucuk pimpinan baharu di kementerian, beliau mempunyai visi dan cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli pasukannya sendiri,” katanya.

Secara tidak langsung katanya, tindakan kementerian tiada kaitan dengan tohmahan berkaitan penyelewengan yang berlaku dalam Finas.

“Bagi saya, tindakan ini tiada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewengan dana Finas.

“Kesemua keputusan berkaitan perolehan mengikuti tatacara dan tertib Finas, malah dibuat secara bersama melalui perbincangan mesyuarat Ahli Perbadanan Finas.

“Saya bersedia untuk membantu sebarang siasatan jika diperlukan,” katanya lagi.

Zurainah juga menyatakan keterbukaan dan kesediaannya dalam membantu segala aspek peralihan kepimpinan Finas yang akan berlaku kelak.

“Kita perlu memperbanyakkan geran dan bantuan untuk menggalakkan semula penggambaran filem di negara ini.

“Saya harap kepimpinan sekarang akan menekankan juga keperluan ini dalam bajet baharu kerajaan seperti mana saya serta ahli-ahli perbadanan lain cuba lakukan pada tahun ini,” katanya.

Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan penamatan kontrak Zurainah berkaitan skandal penyelewengan dana Perbadanan tersebut.

Isu berkenaan dibangkitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan bekas Ahli Perbadanan Finas, Datuk Seri Eizlan Yusof baru-baru ini.

Untuk rekod, tugas Zurainah sebagai Pengerusi Finas ditamatkan serta-merta pada 8 Disember lepas.

Kontrak beliau yang bermula pada 10 Jun lalu sepatutnya tamat pada 9 Jun 2024.

Zurainah pada masa sama tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada keluarga Finas yang memberikan sepenuh kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh memegang jawatan Pengerusi.

Beliau berharap, rakan industri filem yang bertemu dan berbincang dengannya akan terus memberi kerjasama serta membantu badan berkenaan dalam mencapai kecemerlangan bersama.

“Tiada kata mampu diungkapkan bagi menggambarkan perasaan terharu dan penghargaan saya secara peribadi kepada kakitangan termasuk rakan-rakan Ahli Perbadanan Finas yang dihormati dan dikasihi.

“Saya yakin gabungan harmoni antara penggerak industri kreatif bersama Finas mampu melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangsa.

“Keupayaan penggerak industri kreatif negara setimpal dan mampu bersaing secara sihat dengan negara luar, namun hanya perlu mempertingkatkan usaha pemasaran dengan lebih agresif.

“Saya percaya penjenamaan Malaysia sebagai destinasi filem boleh melonjakkan ekonomi negara dan akan lebih menyerlah menerusi suntikan pelaburan besar penggiat seni dari seluruh dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI