LANGKAWI – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Ulu Melaka, Kampung Bukit Kemboja, di sini pada malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, mangsa, Muhammad Alimi Alif, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggangi mangsa dan kereta jenis Perodua Kelisa dipandu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.
“Siasatan awal mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari arah Padang Matsirat menghala ke Ayer Hangat dan sedang membelok ke kanan untuk masuk ke jalan di Kampung Bukit Kemboja.
“Penunggang motosikal dipercayai datang dari arah bertentangan dan dipercayai menunggang dengan laju berdasarkan kesan brek yang panjang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak dan hanya sempat menekan brek motosikalnya sebelum menghentam bahagian hadapan kereta tersebut.
“Mangsa yang tidak memakai topi keledar tercampak ke atas jalan raya dan maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan apa-apa kecederaan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE