fbpx
Peragaan fesyen merupakan salah satu acara yang diadakan pada sambutan Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini. – AMIR KHALID

Malaysia Membatik: Gelombang batik melanda negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay di ibu negara pada 3 Disember lalu dipenuhi para pengunjung yang terdiri daripada masyarakat tempatan dan pelancong luar negara.

Orang ramai berpusu-pusu ke kompleks tersebut dengan berpakaian batik bertepatan dengan sambutan Hari Batik Malaysia yang diraikan.

Sambutan itu dimeriahkan dengan program berteraskan Malaysia Membatik bagi menyebarkan maklumat berkaitan batik kepada generasi muda terutamanya murid sekolah.

Ia bagi memastikan generasi muda mendapat maklumat tepat mengenai penghasilan batik, sekali gus membina rasa cinta terhadap kraf tempatan.

Antara aktiviti yang dianjurkan pada program selama sehari itu adalah pengembangan ilmu, rencana kraf serta interaktif kraf dengan kerjasama Institut Kraf Negara.

Pelbagai acara lain turut dianjurkan termasuk peragaan fesyen, eksplorasi kraf, pameran dan lain-lain lagi.

PARA peserta aktiviti rencana kraf perlu mewarna reka corak batik yang disediakan oleh pihak Kraftangan Malaysia.

Lebih istimewa, aktiviti rencana kraf merangkumi usaha mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi acara mewarna batik beramai-ramai.

Aktiviti itu berjaya mengumpul seramai 2,199 peserta yang terdiri daripada murid sekolah serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Dari jauh sudah terdengar keriuhan para peserta yang terlibat menjayakan acara mewarna batik beramai-ramai itu.

Semua peserta kelihatan bertungkus-lumus mewarna reka corak batik dengan bekalan cat yang disediakan oleh pihak Kraftangan Malaysia.

Pengarah Seksyen Pemuliharaan Kraf, Kraftangan Malaysia, Nurlaili Mohamad Mohed berkata, aktiviti itu telah direkodkan sebagai acara mewarna batik teramai di Malaysia.

“Ia dibuat secara serentak di seluruh negara bermula pada pukul 10.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Acara mewarna batik ini berjaya dicatatkan di dalam MBOR,” ujar Nuraili kepada K2.

Terangnya, aktiviti mewarna batik itu tidak terhad di Kompleks Kraf Kuala Lumpur sahaja, malah melibatkan semua negeri. Walaupun dilakukan secara virtual, namun kemeriahannya masih tetap terasa.

SEBAHAGIAN murid sekolah yang mengambil bahagian dalam aktiviti mewarna batik beramai-ramai.

Berdasarkan paparan video yang ditayangkan, kelihatan murid-murid sekolah serta guru sibuk mewarna batik.

“Kami menyediakan reka corak batik bersaiz 9×9 inci. Setiap peserta akan mendapat satu reka corak batik untuk diwarnakan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurlaili memberitahu, pihaknya turut menganjurkan aktiviti eksplorasi kraf yang melibatkan agensi kerajaan seperti kementerian dan jabatan-jabatan awam.

“Bagi menarik minat ramai, kami telah menganjurkan aktiviti eksplorasi kraf dengan para peserta perlu membuat batik pada setiap pit stop.

“Antara perkara yang perlu dilakukan peserta adalah membuat batik ikat celup, canting dan blok, di samping mencari maklumat mengenai batik,” tambahnya.

Nurlaili berkata, program ekspresi kraf batik pula menyasarkan para pelajar IPT di mana mereka perlu menghasilkan lukisan batik di atas produk siap.

Katanya, peserta ekspresi kraf perlu menggabungkan pelbagai teknik batik seperti cetak, canting dan cap pada produk siap.

Dia menambah, karya terbaik akan diisytiharkan sebagai pemenang oleh pihak Kraftangan Malaysia.

Nurlaili turut memberitahu, program Malaysia Membatik tidak spesifik kepada membuat batik sahaja, malah banyak aktiviti pengembangan ilmu turut dianjurkan khusus buat para pengunjung.

Untuk makluman, program Malaysia Membatik pada tahun ini mengetengahkan cogan kata, Jangan Salah Pilih Batik.

Bermula 1 Julai lalu, Kraftangan Malaysia telah menggunakan media sosial sebagai platform untuk mempromosikan moto itu.

SEKITAR majlis perasmian sambutan Hari Batik Malaysia baru-baru ini.

Nurlaili berkata, masyarakat di negara ini gemar memakai batik, namun masih ramai tidak dapat membezakan antara batik tempatan dengan luar negara.

Katanya, biarpun batik luar negara menggunakan teknik yang sama dengan batik tempatan seperti canting, cetak dan lukis, tetapi masyarakat perlu tahu membezakannya.

“Reka corak batik tempatan lebih kepada motif flora dan abstrak, manakala warnanya lebih menjurus kepada pastel serta ceria.

“Batik luar seperti Indonesia pula gemar menggunakan rona coklat keperangan atau warna-warna tanah,” jelasnya.

Sementara itu, pihak Kraftangan Malaysia turut mengetengahkan keistimewaan batik alternatif yang menggunakan linut, tanah liat serta teknik ecoprint.

Menurut Nurlaili, batik alternatif menggunakan tanah liat dan linut bagi menggantikan fungsi lilin sebagai penghalang warna ketika penghasilan batik kaedah tradisional.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli berkata, antara faktor yang menjadikan batik alternatif sangat istimewa adalah disebabkan ia menggunakan bahan semula jadi.

“Bahan ini dapat memudahkan usahawan menghasilkan reka corak batik. Ia merupakan bahan penghalang warna semula jadi,” jelasnya.

“Batik ecofriendly ini bukan sahaja memudahkan usahawan menghasilkan reka corak, malah membantu negara mengurangkan pencemaran,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihaknya bercadang untuk mengkomersialkan produk-produk tersebut bagi memberi pilihan kepada pelanggan dan peminat batik.

Dalam pada itu, salah seorang pengusaha batik tampatan, Ammin Zahar berkata, industri batik masih diterima baik masyarakat di negara ini.

Pemuda berusia 29 tahun itu berkata, dia masih menerima ramai pelanggan yang ingin membuat tempahan baju batik kasual dan kain pasang.

“Syarikat kami menyasarkan generasi muda untuk menggalakkan mereka memakai batik.

“Baju-T dan kemeja slim fit lelaki menjadi pilihan pelanggan kami disebabkan tarikan terhadap corak batik ikat celup,” ujar Ammin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN