fbpx
Gambar hiasan

Mahkamah: Tiada maksud lain beri sup untuk Jho Low – saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping memberitahu bahawa beliau tiada niat lain apabila menawarkan untuk memberikan sup ketika ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak sihat.

Menurut Joanna, sebagai pegawai bank mereka akan menjadikan pelanggan mereka sebagai kawan dan akan berurusan dalam keadaan yang baik.

“Pembayaran balik pinjaman tertunggak. Apabila saya meminta bayaran, Jho Low selalu tiada di Malaysia atau tidak mahu berjumpa dengan saya.

“Jadi saya ambil peluang untuk meminta bayaran balik apabila ke apartmentnya,” katanya ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee: Tetapi ada satu ketika Jho Low sakit dan awak masakkan sup untuknya.
Joanna: Saya ada mencadangkan kepadanya saya boleh buat sup untuknya, tetapi saya tidak masak. Kalau seseorang sakit, kita biasanya akan tawarkan (untuk bawakan sup).

Muhammad Shafee: Bank saya tak pernah tawarkan saya sup dan saya tinggal bertentangan dengan bank saya.
Joanna: Mungkin ia naluri keibuan saya. Saya tiada niat lain. Saya akan membantu sesiapa sahaja.

Sementara itu Joanna berkata, beliau percaya ada “tangan ghaib” yang menyebabkan syarikat pelaburan strategik Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) mengalami kerugian berjumlah RM700 juta.

TIA diwujudkan pada tahun 2009 bagi merancang pembangunan di negeri Terengganu, kemudian dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), dan ditukar nama kepada (1MDB) pada 25 September, tahun sama.

Joanna berkata beliau kini sedar ada tangan ghaib yang terbabit dalam urusan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang dimohon TIA yang akhirnya merugikan syarikat itu.

Muhammad Shafee ketika itu mencadangkan sama ada saksi menyedari pihak yang mengaut keuntungan daripada urusan bon berkenaan adalah Jho Low dan ‘orang dalam’ dalam Ambank.

Bagaimanapun, Joanna berkata beliau tidak tahu sama ada pihak dalam Ambank turut terbabit dalam konspirasi untuk meraih keuntungan daripada penjualan bon IMTN terbabit.

Joanna yang merupakan saksi pendakwaan ke-41 memberikan keterangan terhadap kes Datuk Seri Najib Razak, 69, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN