PETALING JAYA – Kebiasaannya, ucapan diakhiri dengan serangkap pantun, namun tidak bagi seorang wakil graduan apabila memilih untuk menyanyi pada majlis konvokeysen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-24, pada Khamis lalu.
Penerima Anugerah Diraja, Kristy Samunting, menjadi tumpuan selepas video nyanyiannya tular di Twitter.
“Sebelum saya undur diri saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf jika terdapat silap, salah atau terkasar bahasa.
Paling rare, habiskan ucapan wakil pelajar graduan dengan serangkap lagu. Fefeeling macam dekat konsert dah tadi pic.twitter.com/DKHDePptXJ
— Saitalan (@AzlanTumingan) December 10, 2022
“Dengan itu, saya mengakhiri ucapan bukan dengan serangkap pantun tetapi dengan serangkap lagu,” katanya yang mendendangkan lagu Memori Tercipta nyanyian Shila Amzah.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji suaranya yang merdu sekaligus menyifatkannya sebagai seorang yang cantik dan bijak.
“Sungguh jarang sekali ucapan wakil pelajar graduan diakhiri dengan serangkap lagu. Terasa seakan berada di konsert nyanyian pula rasanya,” tulis pemilik hantaran tersebut menerusi ruangan kapsyen.
“Orang Sabah memang suara telan kaset agaknya. Suara sedap sungguh,” ciap pengguna Twitter, @sleepcatlady.
“Melihatnya mencairkan, secara tidak langsung air mata jatuh apabila dia mula menyanyi,” ciap seorang netizen lain, @Ha_iril.
Selain daripada memiliki bakat menyanyi, Kristy yang juga merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) turut memiliki akaun YouTube sendiri dengan jumlah pengikut seramai 4,960.
Hantaran tersebut seterusnya berjaya meraih sebanyak 12,200 tanda suka dan 5,841 ciap semula setakat ini. – KOSMO! ONLINE