KUALA TERENGGANU – Seorang budak lelaki berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh di dalam tali air di Kampung Kebor Besar, Manir di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.15 petang itu, mangsa, Muhammad Sufi Eijas Mohd. Sobrey sedang melihat arus deras tali air tersebut bersama bapa dan dua adik-beradiknya sebelum terjatuh.
Bapa mangsa, Mohd. Sobrey Ramli, 32, berkata, sebelum kejadian, dia mengambil tiga anaknya itu termasuk Muhammad Sufi Eijas dari rumah ibunya di Kampung Tetambah Baru, Manir, di sini.
“Saya sepatutnya menghantar mereka ke kelas mengaji, namun kami berhenti sebentar di kawasan tali air itu untuk melihat arus deras banjir.
“Sekelip mata salah seorang anak sulung saya, Muhammad Shakir Wafiudin, 8, memberitahu adiknya (Muhammad Sufi Eijas) terjatuh ke dalam tali air berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Mohd. Sobrey berkata, dia nekad terjun ke dalam tali air berkenaan untuk menyelamatkan anak lelakinya tetapi gagal.
Tambah pengawal keselamatan itu, dua penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu turut terjun mencari Muhammad Sufi Eijas namun juga tidak berjaya kerana arus deras.
“Saya kemudiannya menghubungi pihak berkuasa sebelum pasukan bomba tidak lama kemudian,” katanya.
Setakat ini, sepasukan anggota bomba daripada unit Pasukan Penyelamat di Air sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat dengan menyelam di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE