fbpx

Shahidan tubuh NGO perpaduan ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahidan.

ARAU – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan perpaduan ummah bagi membela rakyat di seluruh negara.

Menurut Shahidan, NGO itu didaftarkan dua minggu lalu dan akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Kita membuka keahlian kepada semua individu yang berminat untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan termasuk daripada mana-mana parti sekalipun bagi membela rakyat.

“Buat masa sekarang, terdapat keahlian daripada Pas dan Bersatu yang mana saya turut mempelawa ahli UMNO untuk turut serta dalam pertubuhan ini.

“Jika dahulu, orang UMNO sukar untuk bersama Pas dan Bersatu, kini dengan adanya platfom NGO seperti ini, mereka tidak perlu rasa takut untuk bersama membela rakyat yang memerlukan khidmat dan bantuan,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Katanya, ia adalah satu langkah yang diambil beliau bagi mengukuhkan perpaduan ummah terutama melibatkan Bumiputera Islam supaya terus menabur bakti kepada masyarakat.

Shahidan bagaimanapun belum mendedahkan nama sebenar NGO itu.

“Buat masa sekarang, ramai yang menyatakan minat untuk menyertai pertubuhan perpaduan ummah ini termasuk daripada pelbagai golongan profesional seluruh negara.

“NGO ini juga dirangka dengan struktur organisasi mirip parti politik bagi melaksanakan program dengan lebih efektif termasuk aktiviti sukarelawan di luar negara,” jelasnya.

Tambahnya, NGO itu mampu membela kebajikan rakyat secara menyeluruh dan ia akan menjadi sebuah pertubuhan yang lebih hebat daripada sebuah parti kerana menghimpunkan tenaga kerja dan kepakaran tanpa mengira latar belakang politik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI