PETALING JAYA – Penderitaan hidup bersama lelaki gagal bukan sahaja mengakibatkan seorang wanita hampir ‘gila’, malah menyebabkan dia diisytiharkan muflis selepas bekas suaminya meninggalkan hutang keliling pinggang setelah bercerai.
Segalanya bermula apabila Suriani, 37, membenarkan suami menggunakan namanya sebagai penjamin bagi membolehkan lelaki itu membeli kereta dan membuat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan kedai makan.
Cerita kakitangan swasta itu, kerana hutang dan tidak sanggup lagi hidup dalam tekanan, rumah tangganya hanya bertahan selama enam tahun selepas sudah tawar hati dibiarkan bersendirian menyelesaikan beban yang bukan dibuatnya.
“Suami meminta saya menjadi penjamin untuk dia membeli kereta dan pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 sebagai modal berniaga kedai makan.
“Setiap bulan saya memberi wang kepada bekas suami untuk membayar pinjaman itu, manakala hutang kereta pula diserahkan kepadanya dengan harapan dia membuat pembayaran tanpa gagal,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Bagaimanapun menurut Suriani, tembelang bekas suaminya terbongkar apabila gajinya tidak dapat dikeluarkan ekoran akaun disekat oleh bank.
Tambahnya, selepas didesak, akhirnya bekas suami mengaku yang dia menghadapi masalah kewangan kerana perniagaan tidak menjadi dan mengalami kerugian.
“Rupanya selama ini dia menggunakan wang yang saya beri untuk membayar hutang-hutangnya. Ada juga hutang tertunggak lama dan oleh sebab itu saya pula yang diisytiharkan bankrap,” katanya.
Ujar Suriani, lebih menyedihkan apabila barang kemas yang disimpan dalam almari digadai tanpa pengetahuannya.
“Saya kemudian pergi ke Jabatan Insolvensi dan mereka memaklumkan saya perlu bayar RM48,000 untuk keluar daripada status muflis. Saya perlu buat banyak perkara yang merumitkan,” katanya.
Tambahnya, majikan pula terpaksa membantu membayar gajinya menggunakan cek kerana akaun bank telah disekat.
“Mujur saya dapat keluarkan simpanan insurans RM38,000 dan meminjam wang ibu RM10,000 untuk bersihkan nama.
“Saya tak tahan serta tertekan lalu menceritakan kepada keluarga mentua tetapi tiada yang membantu sebelum mengambil keputusan untuk berpisah,” katanya.
Menurut Suriani, dia masih menuntut hutang-hutang yang dibuat bekas suaminya dan lelaki itu akur membayar walaupun tidak secara tetap setiap bulan.
Seorang lagi mangsa hutang bekas suami dikenali sebagai Lina, 30-an berkata, dia terpaksa menanggung beban hutang ah long mencecah ribuan ringgit selepas lelaki itu menghilangkan diri.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan saya dan dua anak dihalau keluar dari rumah sewa dan diganggu ah long. Saya tidak bekerja.
“Bekas suami bukan sahaja langsung tidak dapat dihubungi, malah nafkah anak-anak tidak diberi. Setiap minggu kami diganggu ah long hingga terpaksa berpindah,” katanya.
Menurut Lina, dia kemudian memohon bantuan zakat untuk menjual kuih-muih bagi menampung kehidupan bersama dua anaknya.
“Biarpun tak mewah, saya perlu bekerja keras bagi memastikan kami tiga beranak dapat meneruskan kehidupan,” katanya. -KOSMO! ONLINE















