fbpx

Piala Dunia: Perancis ke separuh akhir, rentap ‘ego’ England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain Perancis meraikan gol yang dilakukan oleh Olivier Giroud sebentar tadi. Foto Twitter Bleacher Report

DOHA – Juara bertahan, Perancis mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir saingan Piala Dunia 2022 selepas menewaskan England 2-1 pada aksi suku akhir di Stadium Al Bayt sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad Three Lions kendalian Gareth Southgate membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan jentera serangan terdiri daripada Harry Kane, Bukayo Saka dan Phil Foden.

Pasukan Les Bleus bimbingan Didier Deschamps turut melakukan perkara yang sama dalam usaha meloloskan diri ke kelompok empat pasukan terbaik dengan mempertaruhkan tonggak utama seperti Olivier Giroud dan Kylian Mbappe.

Juara edisi 2018 di Rusia itu tidak menunggu lama untuk meledak gol pembukaan hasil ledakan cantik yang dilakukan oleh pemain tengah, Aurelien Tchouameni pada minit ke-17 selepas menyudahkan hantaran Griezmann.

Meskipun ketinggalan 0-1, England kekal tenang dan berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan tetapi gagal memberi ancaman bahaya ke kubu lawan dengan keputusan kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, England mempamerkan aksi lebih kemas dan gerakan lincah yang dilakukan Saka membuahkan hasil selepas dihadiahkan sepakan penalti selepas dijatuhkan Tchouameni pada minit ke-52.

Kesempatan itu digunakan oleh Kane untuk menyamakan kedudukan sekali gus menjaringkan gol ke-53 di pentas antarabangsa dengan menyamai rekod legenda Three Lions, Wayne Rooney.

Tersentak dengan gol tersebut, Perancis mengukuhkan jentera serangan dengan Giroud memiliki beberapa peluang keemasan untuk kembali meletakkan pasukan di depan.

Penjaga gol England, Jordan Pickford akhirnya tertewas buat kali kedua selepas Giroud menanduk masuk gol kemenangan selepas menerima hantaran Griezmann pada minit ke-78.

England sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti hasil keputusan video bantuan pengadil (VAR) selepas pemain gantian, Mason Mount dikasari oleh Lucas Hernandez pada minit ke-81.

Namun, kali ini nasib tidak menyebelahi Kane apabila rembatan yang dilakukannya tersasar sekali gus menyaksikan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Perancis akan menentang Maghribi pada aksi separuh akhir di venue yang sama pada awal pagi Khamis nanti. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI