fbpx

Kumpulan popular tetapi berkubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Feminin dan Innuendo antara yang terkubur dek evolusi dunia hiburan dan tuntutan kehidupan.

INDUSTRI muzik Malaysia semakin meriah dengan lahirnya ramai artis muda berbakat besar tidak kira bergerak secara solo ataupun berkumpulan.

Namun, dunia muzik ada pasang surut. Zaman bergulir dan ada dalam artis lama sudah tidak aktif dek faktor usia mahupun masalah peribadi terutama bagi sesebuah kumpulan.

Tidak dilupakan dengan isu terbaharu V.E, yang dianggotai oleh ahli baharu iaitu Adeep Nahar, Luqman Hakim dan Fakhiz yang terpalit dengan kontroversi penggunaan nama kumpulan tersebut.

V.E yang sebelum ini mampu mara ke final dan menyandang tempat kelima Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) terpaksa akur untuk tidak lagi bergerak sebagai V.E dek enggan terus membakar kemarahan ahli asal V.E terutama Zaf.

Hasilnya, mereka membuat keputusan untuk menamat perjuangan atas nama V.E atau Voices Of Euphonious dek pertikaian soal hak.

Minggu ini, Gala bawakan beberapa kumpulan besar Malaysia yang pernah hit, namun terpaksa tutup buku. Ada juga yang masih bergerak solo untuk meneruskan karier nyanyiannya.

KRU

Ketika zaman kemuncak, KRU pernah memanas apabila karya 20/20 yang dilancarkan pada 1992 diharamkan RTM kerana penggunaan bahasa rojak yang boleh merosakkan maruah bahasa Melayu.

Bukan sahaja hebat dalam muzik, KRU juga handal dalalm bisnes apabila menubuhkan syarikat KRU Records dan KRU Studios. Selepas 25 tahun, KRU memutuskan untuk menutup hayat muzik mereka sebagai sebuah kumpulan, namun mereka tetap adik beradik ikonik dunia hiburan tanah air.

Feminin

Kumpulan wanita Feminin yang ditubuhkan sekitar 1992 mencipta fenomena tersendiri bahkan masih diingati sehingga kini dengan lagunya berjudul Untukmu.

Feminin dianggotai oleh As, Watie, Deq Nor dan Along pada awalnya aktif sebagai penari kemudian ditawarkan sebagai artis rakaman bawah New Southern Records (NSR).

Bibit terkuburnya Feminin bermula pada 1994 apabila Along mengundurkan diri, diikuti Deq Nor pada 1996 kerana sudah berumah tangga.
Feminin akhirnya rasmi berpecah tahun 1997. Ada ura-ura mengatakan Feminin akan membuat kemunculan semula pada 2001 tetapi sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan terkini.

Ahli Fiqir

Kumpulan hip-hop Singapura yang bergerak aktif dalam arena muzik Malaysia sejak 2002, Ahli Fiqir dianggotai Tukang Kata iaitu Samsolnahar Sibenget, seorang pemuzik arif tentang bahasa Melayu moden dan klasik serta Daly Filsuf yang merupakan jurulatih bagi beberapa kumpulan di Singapura.

Noor Hidayati Mohamed Yusop atau lebih dikenali sebagai Mawar Berduri dan DJ Cza pula menyertai kumpulan itu sewaktu mengembangkan karier di Malaysia.

Terkenal dengan lagu Angguk-Angguk Geleng-Geleng pada era awal tahun 2000, karier Ahli Fiqir tidak berpanjangan apabila mengumumkan pembubaran secara rasmi pada 2010.

Dua tahun selepas itu, mereka membuat kemunculan dalam sebuah konsert khas melepaskan kerinduan peminat.

Innuendo

Kumpulan pemuzik R&B, Inuendo terdiri daripada Sam, Taj, Pot, dan Raymee ditubuhkan sekitar 1992 sewaktu Raymee masih bersekolah.

Pada 1995, Innuendo diberi peluang membuka tirai konsert kumpulan R&B Amerika Syarikat All 4-One di ibu kota dan selepas itu bakat mereka jadi perhatian syarikat rakaman.

Semasa album kedua BrandNuEndo dilancarkan pada pada 2001, Sam menarik diri daripada Innuendo dan mereka membawa haluan masing-masing bermula tahun 2005.

Selepas itu Pot dan Taj menumpukan kepada kerja-kerja belakang tabir penerbitan album artis-artis lain dengan syarikat mereka iaitu The Promised Clan Sdn. Bhd. yang ditubuhkan untuk mengembangkan bakat arena indie ke pentas arus perdana.

Antara artis pertama naungan mereka ialah kumpulan Ruffedge dan V.E.
Sekitar tahun 2020, mereka membuat kemunculan semula dengan mengadakan konsert Innuendo-The Return dengan tiga orang ahli sahaja.

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI