fbpx

Marrybrown muncul pemenang Anugerah Francais Malaysia 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (empat kiri) bergambar bersama para pemenang Anugerah Francais Malaysia 2022 pada Majlis Anugerah Francais Malaysia di Hotel Marriot Putrajaya semalam. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Penglibatan dan sumbangan menyeluruh pemain industri francais di negara ini terus diberikan pengiktirafan apabila seramai 27 pemenang menerima anugerah masing-masing sempena Anugerah Francais Malaysia 2022 yang diadakan malam tadi.

Pengiktirafan itu diberikan kepada 27 pemenang yang dipilih daripada 22 kategori merangkumi pelbagai sektor dan kategori yang berada dalam ekosistem industri francais sekali gus memastikan kelangsungan bagi mendepani cabaran Revolusi Perindustrian.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Marrybrown Sdn. Bhd., Datin Nancy Liew (tiga kanan) bergambar bersama pemilik cawangan Marrybrown selepas memenangi Anugerah Francais Terbaik 2022 GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

Anugerah Francais Terbaik 2022 diberikan kepada Marrybrown Sdn. Bhd. (Marrybrown) susulan kejayaan syarikat itu membuka lebih 500 cawangan seluruh negara selain di 16 buah negara antarabangsa termasuk Singapura, Thailand, China, Sweden serta Maldives.

Pada masa sama, syarikat ditubuhkan pada tahun 1981 itu turut merangkul Anugerah Francaisor Terbaik bersama dua jenama lain iaitu Cambridge English For Life Sdn. Bhd. dan Ayam Penyet Bagus Sdn. Bhd..

Selain itu, KSA Restaurant Sdn. Bhd. dan Aroma Avenue Sdn. Bhd. yang merupakan francaisi kepada Marrybrown turut memenangi kategori Anugerah Francaisi Terbaik serta Anugerah Francaisi Harapan Terbaik.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Mohd. Yusof sambil disaksikan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Marriot Putrajaya malam tadi.

Menurut Radzali, penganjuran anugerah kali ini merupakan manifestasi penghargaan kepada penggiat industri tempatan yang berusaha mengekalkan prestasi cemerlang bagi memastikan mereka setanding jenama global.

Radzali berucap pada Majlis Anugerah Francais Malaysia di Hotel Marriot Putrajaya semalam. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

“Bermula dengan hanya lima kategori yang disenaraikan pada awal penganjurannya, kini Anugerah Francais Malaysia telah mengiktiraf lebih 100 syarikat dan individu selain menjadi tanda aras kepada sektor francais serta anugerah antarabangsa.

“Pada tahun ini, Anugerah Francais Malaysia 2022 mengiktiraf 27 pemenang daripada 22 kategori yang disenaraikan dengan merangkumi pelbagai sektor dan kategori yang berada dalam ekosistem industri francais,” katanya.

Jelasnya, sebanyak tiga anugerah baharu turut diperkenalkan tahun ini iaitu Anugerah Francais Wanita Terbaik, Anugerah Francais Mikro dan Mampu Milik Terbaik serta Anugerah ESG Terbaik Ekosistem Francais.

“Kategori-kategori yang diperkenalkan ini merupakan penghargaan MFA kepada kesungguhan dan komitmen para penggiat francais yang menyambut baik usaha kerajaan dalam mempertingkatkan prospek kemampanan serta kelestarian industri francais.

“Jadi, bagi mengekalkan anugerah francais sebagai anugerah berprestij tinggi dan sentiasa menjadi pilihan utama penggiat francais, seramai 34 panel penilai dan ahli jawatankuasa pemilih terbabit dalam menilai calon,” jelasnya.

Ujarnya, jawatankuasa pemilih terbabit terdiri daripada wakil-wakil kementerian, agensi, badan profesional selain pihak korporat yang berkalibar bagi menilai setiap kategori.

Sementara itu, Azman menjelaskan, pihaknya turut melancarkan sistem pendaftaran francais secara online iaitu MyFex 2.0 bagi mengawal selia pendaftaran selaras perubahan teknologi digital.

“Sistem terbaharu itu turut dipastikan selaras dengan pindaan Akta Francais 1998 yang telah diwartakan pada 28 April 2022. Sehingga kini, industri masih didominasi sektor minuman dan makanan seterusnya diikuti sektor perkhidmatan penyelenggaraan selain pendidikan dan perkembangan kanak- kanak.

“Kami yakin industri ini akan terus memberi sumbangan positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara dengan unjuran nilai jualan sehingga RM25 bilion masa akan datang menerusi pelbagai inisiatif dan program dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sasaran itu tidak dapat dicapai tanpa kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk penggiat industri francais.

“Oleh itu, saya menyeru semua penggiat industri untuk sama-sama menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan industri seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hub francais di Asia Tenggara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI