fbpx
Antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan di bulatan Gok Kapor di sini hari ini.

[VIDEO] Tiga penunggang motosikal cedera, tergelincir akibat tumpahan diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Tiga penunggang motosikal termasuk seorang wanita cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka tergelincir selepas kejadian tumpahan minyak diesel di bulatan Gok Kapor di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi, wanita yang berusia 42 tahun mengalami kecederaan serius dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafei berkata, dua lagi penunggang motosikal yang berusia 28 dan 64 tahun hanya mengalami cedera ringan.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.45 pagi daripada orang awam yang memaklumkan terdapat tumpahan minyak diesel di atas jalan raya sehingga menyebabkan tiga buah motosikal tergelincir.

“Sembilan anggota bomba bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian telah membuat semburan air ke atas jalan raya bagi menghilangkan kesan tumpahan diesel.

“Anggota terlibat mengambil masa selama 35 minit untuk menbersihkan kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini..

Menurut Zukeri, wanita yang cedera dihantar ke HRPZ II dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, tular di media sosial video sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian kemalangan empat buah motosikal jatuh secara berturut-turut semasa tiba di bulatan Gok Kapor di sini.

Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan sebelum ambulans dan jentera bomba tiba di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

POPULAR