fbpx

Syarikat penyelenggaraan penerbangan didenda RM66,000 lewat bayar gaji 11 pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rahim ( kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Tindakan sebuah syarikat penyelenggaraan komponen penerbangan dan aeroangkasa gagal mematuhi tempoh pembayaran upah kepada 11 orang pekerjanya membawa padah apabila didenda RM66,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menjatuhi hukuman itu selepas Airod Sdn. Bhd. selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili Presiden Kumpulan Syarikat Nadi,
Brigeder Jeneral (Bersara) Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman mengaku bersalah terhadap 44 pertuduhan dibacakan kepadanya.

Muhammad Syafiq dalam penghakimannya memaklumkan denda itu diberikan selepas mahkamah memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap mitigasi rayuan wakil syarikat dan mengambil kira hujahan pihak pendakwa.

“Mahkamah juga melihat keadaan syarikat yang tidak melakukan pembuangan kerja.

“Justeru, denda RM1,500 dikenakan bagi setiap 44 pertuduhan itu dan berharap tidak berulang lagi,” katanya

Berdasarkan pertuduhan, syarikat dituduh gagal mematuhi pembayaran upah itu kepada 11 pekerja lelaki berusia 35 hingga 62 tahun bagi untuk bulan Mac hingga Jun tahun ini.

Perbuatan itu dilakukan syarikat berkenaan di bangunan kumpulan syarikat Nadi di Jalan Lapangan Terbang Subang, Subang pada 5 September lalu.

Justeru, syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 19(1), Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 99A akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Kesemua pertuduhan itu dibacakan dalam prosiding yang berlangsung selama 20 minit bermula pukul 12.45 tengah hari.

OKS menerusi Abdul Rahim merayu hukuman dan denda yang minima ekoran syarikat lewat menerima jumlah lewat daripada pihak berkaitan ketika pandemik Covid-19.

Ujarnya, syarikat tersebut mempunyai 420 pekerja keseluruhannya.

“Bukan niat untuk tidak bayar sebaliknya lewat disebabkan turut membayar pinjaman selain menggunakan wang sendiri. Syarikat juga tidak membuang pekerja.

“Sekarang Alhamdulillah, pembayaran upah tepat masa dengan syarikat-syarikat penerbangan pun telah beroperasi seperti biasa. Justeru, harap denda minimum bagi memastikan aliran tunai baik kepada syarikat untuk membeli barangan atau komponen,” katanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Mohamad Rifaee Mohamad Salleh dan S. Vejaya Letchumi menegaskan sebelum ini syarikat tersebut telah dikompaun sebanyak RM30,000 atas kesalahan sama.

“Kegagalan majikan bayar gaji ikut tempoh sedikit sebanyak beri kesan kepada saraan hidup pekerja termasuk komitmen bayaran bulanan bagi rumah dan kereta.

“Mohon hukuman berat sebab kesalahan berulang dan pengajaran kepada majikan ini dan syarikat-syarikat lain,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI