fbpx
Orang ramai tidak melepaskan peluang merasai keenakan nasi ambeng pada Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022.

Nasi ambeng lambang muafakat masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEDUA-DUA belah tangan lelaki yang lengkap beruniform khas berwarna putih itu ligat menyediakan hidangan istimewa di dalam sebuah dulang besar.

Dimulakan dengan meletakkan nasi putih di bahagian tepi dulang, lauk-pauk yang siap dimasak disusun satu-persatu di sebelah dengan beralaskan daun pisang.

Sesekali aroma kelazatan daripada lauk-pauk baru siap dimasak itu naik dan menusuk ke rongga hidung sesiapa sahaja yang berada di situ.

Lauk-pauk seperti ayam masak kicap, mi goreng, sambal goreng, ikan masin, serunding kelapa dan rempeyek, semuanya disusun cantik dalam sebuah dulang.

Maka, siaplah hidangan nasi ambeng yang sedia untuk dinikmati oleh tetamu termasuk barisan kenamaan yang hadir memeriahkan Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022 di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Cef Bathiar Redzuan berkata, dia merupakan salah seorang tukang masak yang diberi tanggungjawab menyediakan ribuan dulang nasi ambeng sempena fiesta tersebut.

Bukan sekadar memasak, Bathiar dan rakan sepasukannya juga bertanggungjawab memastikan 2,022 dulang nasi ambeng dapat disiapkan, sekali gus memecahkan rekod baharu Malaysia.

Rekod tersebut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori hidangan nasi ambeng terbanyak di negara ini.

“Alhamdulillah, sejumlah 2,022 dulang nasi ambeng tradisional Selangor telah berjaya disiapkan oleh kami dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Jujur saya katakan, untuk membuat nasi ambeng ini bukan satu perkara yang mudah. Walaupun sangat rumit, namun kalau kena dengan cara ia, memang sedap dan berbaloi.

“Kalau diikutkan sejarah asal, juadah ini merupakan menu wajib orang Jawa.

“Ia sering dihidangkan ketika majlis doa selamat atau tahlil,” katanya.

Jelas Bathiar lagi, nasi ambeng ketika ini tidak lagi dilihat sebagai hidangan yang disediakan pada hari-hari tertentu sahaja, sebaliknya ia boleh dinikmati sepanjang masa.

Katanya, seiring dengan peredaran zaman, nasi ambeng tradisional dan asli amat sukar ditemui kerana telah dimodenkan dan diolah mengikut cita rasa sendiri.

“Kalau ikutkan, nasi ambeng tradisional Selangor mengandungi nasi putih, ayam masak semur, mi goreng, ikan masin, serunding kelapa, sambal goreng serta rempeyek.

“Sambal goreng mestilah dihidangkan bersama bahan wajib seperti tempe, tauhu, kacang panjang, tauhu kering, suhun dan lobak merah yang dimasak bersama menggunakan kicap,” tuturnya yang telah menabur bakti selama dua dekad dalam bidang kulinari.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah (empat dari kiri) menunjukkan sijil Malaysia Book of Records bagi kategori hidangan nasi ambeng terbanyak pada Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022 di Sepang baru-baru ini.

Menerusi catatan rekod baharu di dalam MBOR itu, nasi ambeng telah diisytihar dan diwartakan sebagai makanan warisan Selangor.

Tujuan pewartaan berkenaan adalah untuk memberi ketetapan ciri-ciri dan elemen nasi ambeng asli yang berasal dari Selangor.

Pewartaan itu dibuat kerajaan negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor baru-baru ini.

Pengisytiharan makanan warisan itu pula dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata, dia mahu memartabatkan dan memastikan kelestarian nasi ambeng sebagai salah satu makanan warisan di negeri tersebut.

“Proses pewartaan nasi ambeng telah bermula semenjak tahun 2021. Ia dimulakan dengan kajian sumber bertulis dan lapangan.

“Ia disusuli dengan bengkel meja bulat dan pertemuan yang dihadiri oleh para pengusaha nasi ambeng dari lima daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Hasil daripada perbincangan ini telah memberikan satu kata putus bagi menghasilkan ciri-ciri nasi ambeng Selangor.

“Kemudian, ia diwartakan sebagai makanan warisan di Selangor,” katanya ketika mengisytiharkan nasi ambeng sebagai makanan warisan Selangor iaitu sehari sebelum fiesta berkenaan berlangsung.

Tambah Amirudin, biasanya nasi ambeng dihidangkan di dalam dulang, sebelum dikongsi makan bersama-sama empat hingga lapan orang ketika kenduri.

“Mengikut tradisi masyarakat Jawa, ketua keluarga yang menghadiri majlis berkenaan akan menjamah sedikit hidangan berkenaan.

“Kemudian, ia dibahagikan antara ketua keluarga sebelum dibawa pulang sebagai berkat kepada ahli keluarga lain di rumah.

“Keunikan nasi ambeng menjadikan menu tradisi ini bukan hanya enak dimakan, malah mempunyai nilai falsafahnya tersendiri.

Misalnya, menjadi simbol kesepakatan dan perpaduan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Fatin berkata, dia sangat teruja dapat menikmati hidangan nasi ambeng buat pertama kali sepanjang hidupnya.

“Pada awalnya, saya rasa agak pelik kerana terlalu banyak lauk-pauk yang perlu dimakan bersama nasi dan mi goreng secara serentak.

“Namun, selepas menjamahnya ia langsung tidak pelik. Malah, rasanya yang sedap mampu membuka selera sesiapa sahaja.

“Inilah hidangan tradisional Selangor yang perlu diketengahkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing,” katanya yang berasal dari Jempol, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN