ALOR SETAR – Bilangan pengunjung ke Langkawi sempena cuti persekolahan bulan ini dijangka meningkat selepas pelancong yang berhasrat makan angin di Thailand mengubah destinasi pelancongan mereka ke pulau legenda itu atas faktor keselamatan.
Ia susulan kejadian pengeboman yang berlaku berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngea, Sadao, Thailand pada Sabtu lalu sehingga menyebabkan kereta api tersebut terbalik.
Kejadian pada pukul 2 petang itu juga menyebabkan perkhidmatan kereta api State Railway of Thailand dari Hatyai ke Stesen Padang Besar tergendala seketika.
Kelmarin, tiga pekerja penyelengaraan pula terbunuh dalam letupan bom yang menyasarkan landasan kereta api di wilayah Songkhla.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, setakat ini peratus tempahan tempat penginapan dan kereta sewa di Langkawi bagi cuti sekolah telah meningkat sehingga 40 peratus sejak semalam.
Menurutnya, berdasarkan laporan tempahan yang dikemas kini setiap hari, pihaknya melihat peningkatan peratus tempahan yang ketara sejak kejadian pengeboman itu berlaku.
“Tempahan bagi feri membawa penumpang dan kenderaan jenis Roll On Roll Off (RORO) juga meningkat sebanyak 87 peratus.
“Tempahan bagi perkhidmatan bas rombongan pelancong juga sudah penuh bagi tarikh bermula 9 Disember hingga 11 Disember ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata, kebanyakan pelancong terutamanya bagi kumpulan-kumpulan rombongan yang akan menaiki bas untuk ke Padang Besar- Hatyai pada cuti sekolah telah mengubah destinasi pelancongan mereka ke Langkawi.
Katanya, perkara itu telah memberi kelebihan kepada industri pelancongan di Langkawi.
“Walaupun bilangan pelancong ke Langkawi meningkat secara mendadak sejak semalam, namun kadar kenaikan ini masih di paras rendah berbanding tahun lalu disebabkan masalah perjalanan feri yang belum selesai sepenuhnya.
“Jika masalah feri dapat diselesaikan, saya rasa peratus kenaikan pelancongan dapat melonjak sehingga 90 peratus,” ujarnya.
Antara isu yang melibatkan feri ialah perjalanan terhad, sukar mendapatkan tiket dan kadangkala terkandas akibat alur pelayaran cetek. -KOSMO! ONLINE














