fbpx

Kenal jasad abang selepas tengok kasut, baju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORLIZA menunjukkan kasut ditemui bersama jasad yang hampir reput sekali gus menguatkan lagi kata hatinya mayat itu adalah abangnya yang hilang dari rumah di Kuala Pilah sejak 15 hari lalu.

KUALA PILAH – “Sebaik melihat bentuk badan, baju, seluar dan kasut daripada gambar yang saya terima, hati saya pasti itu memang abang,” luah Norliza Abu Hasan, 53, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gunung Pasir, di sini semalam.

Norliza berkata, pada masa dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu oleh pihak polis kelmarin, dia sedang bekerja dan mulai tertanya-tanya bagaimana abang­nya, Abu Zahrin A. Hassan, 67, dalam usia serta keadaan fizikal seperti itu mampu sampai ke kawasan kebun berbukit yang dua kali ganda lebih tinggi daripada Bukit Sikai, di sini.

Menurutnya, mayat Allahyarham ditemui oleh pemilik kebun dalam keadaan badan tersembam ke tanah serta sudah mulai mereput.

“Walaupun saya masih tertanya-tanya dan musykil macam mana abang boleh sampai ke situ, kami sekeluarga berasa lega apabila jasad abang telah ditemui selepas kira-kira 15 hari menghilang.

“Malah, kami sekeluarga juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat iaitu polis, bomba, penduduk kampung, media serta mana-mana individu yang sudah membantu kami mencari atau mendoakan abang segera ditemui,” katanya.

Ujar Norliza lagi, mereka sekeluarga tidak pernah berhenti berikhtiar mencari abang mereka yang hilang lebih-lebih lagi abangnya itu mengalami masalah kesihatan mental.

ALLAHYARHAM ABU ZAHRIN

Malah, menurutnya, abang sulung mereka, Muhammad Sharif, 75, sudah tiga hari tidur di rumah pusaka keluarga dan menyalakan lampu rumah dengan harapan Abang Ujang (gelaran Allahyarham) akan kembali ke rumah.

“Walaupun hanya jasad abang ditemui dalam keadaan reput, namun saya berasa sangat lega kerana setidak-tidaknya kami dapat menyempurnakan jenazah abang serta pencarian dengan bantuan semua pihak ini juga membuahkan hasil,” katanya.

Menurutnya, dia berharap agar proses bedah siasat terhadap jasad mangsa dapat berjalan dengan lancar agar jenazah dapat segera dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sikai, di sini dalam kadar segera.

Pada 29 November lalu, Kos­mo! melaporkan, Norliza dan keluarga memohon bantuan orang ramai untuk mencari Allahyarham Abu Zahrin yang didapati hilang dari rumah pusaka mereka di Kampung Sikai Gunung Pasir, di sini.

Abu Zahrin hilang pada 22 November lalu selepas didapati tidak datang ke rumahnya seperti kebiasaan untuk makan malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superinten­dan Amran Mohd. Ghani berkata, mayat mangsa ditemui pada pukul 2.30 petang kelmarin di kawasan semak Kampung Jumbang, Seri Menanti, di sini.

Menurutnya, dari segi fizikal dipercayai mayat tersebut telah meninggal dunia melebihi tiga hari.

“Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah selepas penemuan mayat tersebut. Bagaimanapun, kes ini dipercayai berkaitan dengan satu kes orang hilang melibatkan seorang lelaki berumur 67 tahun yang dilaporkan hilang sejak 22 November lalu di Kampung Sikai Gunung Pasir, Seri Menanti.

“Kediaman mangsa dan lokasi mayat ditemui adalah sekitar tujuh kilometer dan pihak keluarga sudah dipanggil untuk membuat pengecaman mayat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN),” kata beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI