PETALING JAYA – Sebahagian ibu bapa merayu Kementerian Pendidikan (KPM) mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah dimansuhkan tahun lalu kerana mereka kini resah dengan prestasi pelajaran anak-anak.
Rata-rata ibu bapa yang dihubungi Kosmo! meluahkan, anak-anak mereka kini kurang semangat untuk bersaing bagi mendapat keputusan cemerlang memandangkan tiada lagi peperiksaan awam yang perlu dilalui di peringkat sekolah rendah.
Ibu kepada empat anak, Noraini Omar, 50, berkata, anak bongsunya yang ketika ini berada di Tahun 2 dilihat seperti leka dan tidak menunjukkan semangat untuk belajar apabila mereka kini hanya diuji melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
“Kalau zaman anak-anak saya yang lain, mereka akan all-out setiap kali musim peperiksaan terutamanya UPSR kerana risau jika mendapat gred rendah.
“Jika ada UPSR, murid-murid akan lebih bersemangat untuk menghasilkan prestasi yang terbaik dan semangat bersaing dengan rakan-rakan lain untuk mendapat markah tertinggi di dalam kelas,” katanya.
Selain itu, Azahari Md. Yunus, 43, pula merasakan UPSR perlu diadakan semula di sekolah rendah dalam menilai penguasaan murid-murid Tahun 6 sebelum mereka memasuki pembelajaran di peringkat sekolah menengah.
“Pada pandangan saya, perlu ditekankan mengenai unsur pencapaian gred terbaik dalam peperiksaan supaya anak-anak mempunyai target sewaktu belajar di sekolah rendah lagi.
“UPSR penting kerana ia sebagai galakan agar mereka menunjukkan keupayaan masing-masing dan mendapat pengalaman dalam menghadapi peperiksaan awam,” ujarnya.
Shahril Talahar, 39, pula berkata, meskipun pelaksanaan sistem PBD lebih terbuka dalam mengembangkan kreativiti seseorang murid, namun masih ada kebimbangan mengenai persediaan mereka ke peringkat sekolah menengah.
“Peperiksaan awam ini masih relevan untuk diguna pakai kembali kerana ia dapat menentukan hala tuju pembelajaran anak-anak sebelum mereka memasuki Tingkatan 1,” katanya.
Justeru, rata-rata ibu juga meletakkan harapan agar KPM melalui Menteri Pendidikan yang baharu, Fadhlina Sidek dapat mendengar luahan mereka yang mahukan UPSR dikembalikan semula bagi menguji keupayaan murid-murid Tahun 6 dalam peperiksaan awam. -KOSMO! ONLINE














