fbpx
CALON-calon UPSR bersorak gembira apabila menerima keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu. – GAMBAR HIASAN

Bimbang guru ‘pilih bulu’ dalam menilai prestasi murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelaksa­naan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) berisiko mendorong kepada ketidakadilan guru dalam menilai prestasi murid yang sebenar.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, sebagai seorang manusia walaupun bergelar guru, mereka tidak lari daripada ‘memilih bulu’ dalam kalangan anak murid sendiri.

“Jika guru itu mahukan murid kesayangan dapat markah tinggi, dia boleh sahaja berikan dalam markah penilaian PBD walaupun prestasi itu tak terlalu bagus.

“Jadi tindakan seperti itu tidak menepati piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Mohamad Ali beranggapan, menjadi satu keperluan untuk Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah pimpinan Fadhlina Sidek mengkaji serta meneliti semula keperluan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Katanya, banyak rungutan dalam kalangan guru serta ibu bapa mengenai pelaksanaan PBD yang dikatakan kurang berkesan dalam menguji tahap penguasaan murid sekolah rendah.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, pemansuhan UPSR dilihat memberi impak negatif kepada lebih 50 peratus golongan pendidik yang merasakan pelaksanaan PBD menambah bebanan tugas mereka.

“Saya kira wajar KPM mengkaji semula cadangan kembalikan UPSR dengan syarat jika kaedah sedia ada tidak berkesan menilai pencapaian murid dan mengikut piawai ditetapkan pihak kementerian.

“Selain itu, ramai guru sekolah rendah mengadu PBD menambah beban tugas apabila perlu menilai prestasi murid yang ramai,” ujarnya.

Katanya, terdapat hampir 5,000 guru di Semananjung, Sabah serta Sarawak yang berdaftar sebagai ahli iGuru dan 70 peratus daripada mereka bersetuju untuk KPM mengkaji semula pelaksanaan UPSR bagi murid Tahun 6. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN