fbpx

Piala Dunia: Portugal tepati ramalan singkir Switzerland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pepe (kiri) bersama Ruben Neves dan Diogo Dalot meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas membelasah Switzerland 6-1 sebentar tadi.

LUSAIL – Portugal menamatkan penantian 16 tahun apabila melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas membelasah Switzerland 6-1 pada pusingan 16 pasukan terbaik di Stadium Lusail sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Selecao mengulangi pencapaian edisi 2006 di mana mereka melepasi pusingan 16 pasukan terbaik sebelum menamatkan saingan di tempat keempat di belakang Jerman, Perancis serta juara, Itali.

Pada perlawanan sebentar tadi, Portugal yang turun tanpa kelibat pemain bintang, Cristiano Ronaldo tetap memberikan ancaman kepada pintu gol Switzerland menerusi gandingan Goncalo Ramos, Joao Felix dan Bruno Fernandes.

Walaupun perlawanan dilihat agak seimbang, namun Selecao berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 selepas sepakan deras Ramos menggegarkan gawang Switzerland yang dikawal Yann Sommer.

Pada minit ke-33, pintu gol Switzerland bocor lagi selepas pemain pertahanan berpengalaman, Pepe menanduk masuk sepakan penjuru yang dilakukan Fernandes bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Skuad kendalian Fernando Santos itu hampir meledak gol ketiga perlawanan pada minit ke-42, namun percubaan dilakukan Ramos diselamatkan Sommer yang dilihat sudah bersedia di pintu golnya.

Bersambung separuh masa kedua, Ramos terus mengganas apabila meledak gol keduanya pada minit ke-51 selepas menyambar hantaran bek kanan, Diogo Dalot bagi memastikan Portugal selesa mendahului 3-0.

Empat minit berselang, Portugal terus menambah derita tuan rumah Piala Dunia 1954 itu apabila menjaringkan gol keempat menerusi Raphael Guerreiro yang menerima hantaran Ramos.

Kemudian, Switzerland akhirnya berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-58 selepas pemain pertahanan, Manuel Akanji menolak masuk bola yang berpunca daripada sepakan penjuru.

Pada minit ke-66, Ramos melengkapkan malam gemilang buat dirinya apabila meledak hatrik bagi menjadikan kedudukan 5-1 sebelum dia dikeluarkan dan digantikan dengan Ronaldo.

Hasrat Ronaldo untuk mencetak nama sebagai penjaring pada perlawanan tersebut tidak kesampaian apabila jaringannya pada minit ke-83 dibatalkan selepas dia didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

Ketika perlawanan dilihat hampir pasti berkesudahan 5-1, pemain gantian, Rafael Leao melengkapkan kemenangan bergaya 6-1 menerusi jaringan yang cukup menarik pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI