fbpx

‘Masih terbayang tragedi lelaki ditelan ular’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kim Soo menunjukkan gambar-gambar kejadian tragis manusia ditelan ular sawa ketika ditemui di Segamat semalam.

SEGAMAT – Pengalaman seorang bekas wartawan membuat liputan peristiwa seorang lelaki ditelan ular sawa di Tenang di sini pada 4 April 1995 masih tersemat dalam ingatannya.

Bekas wartawan China Press, Wong Kim Soo, 80, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, dia dimaklumkan mengenai tragedi manusia ditelan ular sawa seberat kira-kira 100 kilogram (kg) daripada seorang kenalannya.

Pada mulanya dia menyangka lelaki terbabit hanya dipatuk ular sebelum bergegas ke lokasi kejadian iaitu di rumah mangsa yang terletak kira-kira 20 meter dari kawasan paya.

“Ketika mencari maklumat mengenai berita itu, saya amat bernasib baik apabila menjadi wartawan pertama yang mendapat gambar-gambar peristiwa itu daripada pihak polis.

“Dalam kejadian tragis itu, kehilangan seorang lelaki berusia 22 tahun dari sebuah rumah terpencil di Tenang di sini terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam perut ular sawa sepanjang tujuh meter,” katanya ditemui di bandar Segamat di sini semalam.

Kim Soo memberitahu, liputan berita itu turut menjadikannya buruan petugas media cetak serta elektronik dari dalam serta luar negara untuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian.

“Mereka bertanya lokasi sebenar kejadian itu dan meminta beberapa sudut gambar sisi lainnya sehari selepas itu.

“Antara rentetan peristiwa yang sukar dilupakan apabila saksi, anggota polis yang menembak mati ular tersebut menceritakan bagaimana ular sawa itu menjulang mangsa beberapa meter ke udara sebelum menelan lelaki tersebut,” ujarnya.

Biarpun sudah lebih 27 tahun berlalu, peristiwa manusia ditelan ular sawa itu masih segar menjadi sejarah hitam di Segamat, malah menjadi tumpuan dunia ketika itu.

Kim Soo tidak pernah sesekali dapat melupakan apabila terpaksa menyewa teksi dengan bayaran RM80 ke Ibu Pejabat China Press di Kuala Lumpur untuk menghantar gambar bercetak serta berita berkenaan.

Dia yang memulakan perkhidmatan kewartawanan di akhbar berbahasa Cina itu pada tahun 1990 berdepan pelbagai insiden, namun peristiwa tersebut sememangnya yang paling bermakna.

Kim Soo turut memuji keberanian anggota polis walaupun nyawa menjadi taruhan, mereka berjaya menemui mangsa meskipun berakhir dengan tragis.

“Zaman 90-an dahulu bukan mudah jadi wartawan. Banyak pengorbanan tenaga dan masa. Berita pun kita hantar by hand ke pejabat berita.

“Sekarang senang semua be­rita boleh dihantar melalui WhatsApp atau e-mel, namun tanggungjawab masih sama dan ia bukan mudah.

“Kewajipan sebagai pengamal media berjaya dilaksanakan ketika itu dengan hasil kerja berpasukan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI