fbpx

[VIDEO] Mahkamah: PU Azman didakwa lagi amang seksual, kelucahan melampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PU Azman ketika hadir ke pekarangan Mahkamah Klang hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI

KLANG – Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman didakwa lagi atas tiga pertuduhan amang seksual dan satu kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini.

PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen dan Majistret itu.

Di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said, tertuduh yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Man dituduh dua kes amang seksual fizikal di sebuah inap desa di Sungai Udang di sini masing-masing pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Azman Syah yang masih bujang itu juga didakwa menggalakkan komunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp
dengan dituduh mengikut Seksyen 11 (1)(b) akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Perbuatan itu antara pukul 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru di sini pada 16 Ogos lalu.

Ini melibatkan dua mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 17 tahun.

Cik Man juga didakwa di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid atas tuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek kira-kira pukul 9.15 malam pada 10 Jun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Azman Syah diwakili Peguam Fahmi Adilah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM24,000 bersama penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan selain melapor diri di balai polis berhampiran rumah setiap awal bulan bermula bulan ini.

Sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Azman Syah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 12 Oktober lalu atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI