fbpx

Piala Dunia: Livakovic wira Croatia singkir Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain-pemain Croatia meraikan kejayaan mara ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Jepun 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

DOHA – Penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic dijulang sebagai wira apabila membantu pasukan itu mara ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Jepun 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 16 pasukan terbaik.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub sebentar tadi, Livakovic menampilkan aksi cukup cemerlang apabila menyelamatkan tiga sepakan penalti Jepun yang diambil Takumi Minamino, Kaoru Mitoma dan Maya Yoshida selepas aksi 120 minit berakhir seri 1-1.

Secara keseluruhan, Croatia boleh dianggap pasukan lebih baik apabila menguasai hampir sepenuhnya permainan manakala Jepun dilihat berbahaya ketika melancarkan serangan balas pantas.

Kedua-dua pasukan memiliki beberapa peluang untuk membuka tirai jaringan pada awal separuh masa pertama, namun jentera serangan masing-masing gagal untuk memanfaatkan peluang terhidang.

Dua minit sebelum rehat separuh masa pertama, kerja keras Jepun akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang, Daizen Maeda meletakkan pasukan itu 1-0 di depan selepas menyepak masuk bola yang berpunca daripada set-piece.

Bersambung separuh masa kedua, perlawanan bertambah rancak dengan Croatia meningkatkan tempo permainan serta melakukan beberapa perubahan taktikal dalam usaha mereka mencari gol penyamaan.

Penyerang Croatia, Ivan Perisic yang mensia-siakan beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama akhirnya menebus kesilapan tersebut dengan meledak gol penyamaan selepas menanduk masuk hantaran Dejan Lovren pada minit ke-55.

Walaupun Jepun dan Croatia melakukan yang terbaik bagi memburu gol kemenangan, namun kedudukan 1-1 kekal hingga tamat 90 minit permainan, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Keputusan ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic mengeluarkan Luka Modric dan Mateo Kovacic pada masa tambahan menyaksikan pasukan itu sedikit rapuh di bahagian tengah, sekali gus memberi ruang kepada Jepun untuk melakukan asakan.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal mencari gol kemenangan dalam tempoh 30 minit masa tambahan sehingga memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada aksi penentuan tersebut, pengalaman yang dimiliki Croatia nyata membantu mereka apabila menjaringkan gol menerusi Nikola Vlasic, Marcelo Brozovic dan Mario Pasalic manakala gol Jepun dijaringkan Takuma Asano. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI