fbpx

Pelajar Kolej Vokasional maut, motosikal bertembung kereta tak lepas memotong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal mangsa yang remuk selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Salor Baru-Pasir Mas, Kota Bharu malam tadi. - IHSAN PDRM

KOTA BHARU – Seorang pelajar tingkatan lima Kolej Vokasional Pengkalan Chepa maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta yang sedang memotong di Jalan Salor Baru-Pasir Mas di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa, Adam Haris Murshidi Mohd. Lokman, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dan seorang penumpang dari arah bertentangan memasuki laluan motosikal mangsa dipercayai sedang memotong sebuah kenderaan.

“Insiden itu menyebabkan kereta terbabit bertembung dengan motosikal Adam Haris Murshidi sehingga mangsa tercampak sejauh sembilan meter ke bahu sebelah kiri jalan.

“Kereta itu kemudiannya terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik berhampiran sebuah kedai makan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat.

Katanya, pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan di muka dan kepala kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, manakala penumpangnya luka ringan pada tangan dan kedua-dua belah kaki.

Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI