fbpx

Semangat, iltizam Bhavi dalami bahasa Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BHAVI percaya mempelajari bahasa-bahasa asing juga dapat meningkatkan keyakinan diri

MEMINATI bahasa Jerman sejak di bangku sekolah membuatkan gadis kelahiran Pulau Pinang ini mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa tersebut di universiti.

Menurut Bhavithra Anathe Segar atau lebih mesra disapa sebagai Bhavi, minat mendalam untuk bergelar seorang pendidik juga betul-betul membulatkan tekadnya untuk mengikuti pengajian itu.

Katanya, setelah tamat persekolahan, dia telah menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Jerman) di Universiti Malaya (UM) sekali gus menggapai impiannya.

“Kalau ditanya kenapa memilih bahasa asing terutama bahasa Jerman sebagai pilihan, saya sendiri tidak ada jawapan spesifik tetapi memang meminatinya dan mahu mencabar diri.

“Saya rasakan ia lain daripada yang lain dan betul-betul rare. Pada masa sama, saya juga ingin mendapatkan biasiswa khas di UM kerana bakal bergelar guru bahasa Jerman,” katanya yang sudah mula mempelajari bahasa asing itu sejak di sekolah menengah.

Meneruskan perkongsian, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, di UM, dia juga aktif dan pernah menyertai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Jelasnya, dia memilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kampus sekali gus menyertai MPP kerana mahu membantu orang ramai terutama mahasiswa sekali gus menyelesaikan isu-isu mendatang.

“Bagi saya, belajar dan duduk dalam kelas sahaja boleh buatkan saya bosan. Pada masa sama, jiwa sebagai seorang pemimpin dan mahu membantu orang itulah yang membuatkan saya sertai MPP.

“Menjadi salah seorang exco di dalam MPP secara tidak langsung banyak mengajar saya erti kesabaran. Walau terpaksa harungi pelbagai halangan, tetapi kemanisan diperolehi itu pasti menjadi kenangan terindah,” ujarnya.

Tidak setakat itu, dia juga aktif dengan menyertai pelbagai persatuan lain di kampus terutama yang melibatkan keagamaan dan komuniti.

Meneruskan perkongsian, Bhavi yang berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda tidak menunggu lama untuk menyambung pula ke peringkat Sarjana selepas itu walaupun sudah ditawarkan untuk menjadi guru.

BHAVI (berdiri, tengah) bersama murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur yang menjadi anak-anak didiknya.

Katanya, dia nekad untuk terus menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengurusan Pendidikan selama beberapa tahun.

“Sepanjang mengambil master, memang pelbagai rintangan dialami, namun semuanya dipermudahkan sampailah saya berjaya tamatkan pengajian baru-baru ini, cuma majlis graduasi belum dilangsungkan,” katanya.

Bhavi gembira kerana hasil kerja keras dan usahanya selama bertahun-tahun di kampus sebelum ini akhirnya merealisasikan impian untuk bergelar guru apabila kini sudah mula mengajar bahasa Jerman di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya di ibu kota.

Menyentuh sedikit mengenai program dan kursus bahasa Jerman yang diambilnya di kampus, Bhavi mengakui ramai yang tidak nampak kepentingan dan sumbangan profesion daripada bidang tersebut.

Katanya, kerjaya hebat sebagai peguam, doktor, jurutera dan akauntan acap kali mendapat tempat, namun ramai yang lupa profesion sebagai guru bahasa, penterjemah dan pemandu pelancong turut menyumbang dan mempunyai keunikan tersendiri.

“Ramai akan sedar bahawa pekerjaan ini amat asing dengan apa yang sentiasa dilihat dan diagungkan selama ini.

“Saya ingin lebih ramai orang untuk belajar bahasa ketiga atau keempat yang menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan keyakinan diri sekali gus mengembangkan potensi,” katanya yang kini menginjak usia 30 tahun.

Menutup kata, Bhavi memberitahu, dia yang juga pernah ke Jerman sebelum ini untuk mengikuti kursus pemantapan bahasa di sana bakal melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang sama tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI