fbpx
PEMAIN tengah Australia, Jackson Irvine jelas sekali kecewa selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Argentina pada Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Ahmed bin Ali awal pagi semalam. – AFP

Piala Dunia: Australia perlu dana besar bina skuad Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA – Pengendali Australia, Graham Arnold menyeru kepada pihak kerajaan agar menyediakan peruntukan dan dana lebih besar untuk pembangunan bola sepak selepas menyaksikan pasukan mereka terkandas di peringkat 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022.

‘Kisah dongeng’ skuad The Socceroos berakhir susulan tewas 1-2 kepada wakil Amerika Selatan, Argentina pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Ahmed bin Ali awal pagi semalam.

Namun, kejayaan Australia melangkah ke pusingan kalah mati tetap dianggap sebagai salah satu kejutan dengan Arnold menyasarkan lebih banyak kejayaan antarabangsa bakal dikecapi pasukan pada masa akan datang.

Jurulatih berusia 59 tahun itu percaya tiada jalan mudah untuk mendapatkan kejayaan selain mula memberi tumpuan kepada aspek di peringkat akar umbi bagi mencungkil lebih ramai bakat muda dalam skuad kebangsaan.

“Apa yang kita lalui sepanjang kempen Piala Dunia 2022 kali ini adalah sesuatu di luar jangkaan. Namun, saya lebih suka jika mengambil dari sudut positif dan berharap kejayaan ini dapat membuka mata pihak kerajaan dan persatuan.

“Jika ditanya mengenai apa penambahbaikan yang boleh dilakukan, saya harap pihak kerajaan dapat mengeluarkan dana yang lebih untuk memastikan program pembangunan di pe­ringkat akar umbi berjalan lebih efektif.

“Selain itu, saya juga percaya satu daerah khusus perlu diberikan untuk menjadi pusat bola sepak di Australia yang mana semua pemain berpotensi dan skuad kebangsaan dikumpulkan di sana,” katanya.

Mengulas mengenai aksi bertemu La Albiceleste, Arnold enggan menyalahkan anak-anak buahnya yang telah memberikan seratus peratus di atas padang selain menganggap nasib tidak menyebelahi pasukan untuk mara ke pusingan suku akhir.

“Secara jujur, saya agak kecewa kerana pasukan sepatutnya boleh merekodkan kemenangan jika tidak melakukan kesilapan mudah kerana ini adalah peluang terbaik walaupun berdepan gergasi bola sepak seperti Argentina.

“Malah, kita juga memiliki dua peluang keemasan untuk sekurang-kurangnya mengheret aksi ke masa tambahan mene­rusi Aziz Behich dan Garang Kuol tetapi malangnya mereka gagal menyudahkan dengan baik,” katanya. – AGENSI

POPULAR