fbpx

Hasil kraf tempatan makin diminati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Hajah Saraya Arbi (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada sebahagian wakil-waki jabatan dan media.

Permintaan terhadap hasil kraf tempatan dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan apabila dalam tempoh Januari hingga Oktober 2022, sebanyak RM236.1 juta nilai jualan telah dijana menerusi industri kraf tempatan.

Ia sekali gus mencatatkan peningkatan 53 peratus berbanding tempoh sama tahun 2021 di mana nilai jualan yang dijana adalah sebanyak RM154.2 juta.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli berkata, bagi industri kraf batik pula, turut merekodkan peningkatan 78 peratus tahun ini daripada tahun lepas dengan hasil jualan RM69.2 juta berbanding RM38.9 juta.

Katanya lagi, kerajaan telah memperuntukkan RM6.8 juta rebat baucar yang menyaksikan nilai jualan RM26 juta telah memanfaatkan kepada pengguna dan usahawan industri kraf.

Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia menganjurkan Majlis Sambutan Hari Batik Malaysia 2022 dalam memperkasakan industri kraf batik tempatan.

Kelainan bagi sambutan tahun kedua ini berjaya membawa aktiviti cakna batik menerusi ‘Acara Mewarna Batik Teramai’ direkodkan di dalam Malaysia Book of Records pada pagi Sabtu lalu dengan penyertaan seramai 2,000 peserta.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Hajah Saraya Arbi berkata, aktiviti cakna batik memberi pendedahan dan pemahaman kepada peserta berkaitan teknik, proses dan reka corak batik Malaysia.

“Para peserta berpeluang mewarna reka corak batik mengikut kemahiran, kreativiti serta idea masing-masing dalam menghasilkan batik yang menarik melalui pelbagai warna.

“Peserta terdiri daripada kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, sekolah antarabangsa serta institusi pengajian tinggi yang diadakan secara serentak di Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri masing-masing seluruh negara,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Batik Malaysia di sini kelmarin.

Menurut Saraya, pihaknya berharap penganjuran program sebegini dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat Malaysia membudayakan pemakaian produk kraf tekstil tempatan sebagai satu gaya hidup.

“Sambutan Hari Batik Malaysia ini merupakan kemuncak bagi kempen ‘Ini Batik Malaysia’ yang bermula sejak 1 Julai lalu.

“Kempen ini adalah usaha memartabatkan industri kraf batik tempatan yang dijalankan melalui hebahan dan publisiti di media sosial serta aktiviti persembahan atau pameran di seluruh negara,” ujarnya.

Dalam majlis sama, Program Malaysia Membatik juga diadakan dengan pelbagai pengisian.
Antaranya, Eksplorasi Kraf, Ekspresi Kraf Batik, jualan produk kraf batik, pameran kraf, Pameran Institut Kraf Negara (IKN), Craftganza, zumbatik, demonstrasi dan interaktif kraf serta persembahan kesenian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI