fbpx

Halimah rayu bantuan JKM disambung, harap ihsan jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HALIMAH (kanan) kini tinggal seorang diri dan mengharapkan ihsan jiran-jiran ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung, Gadong di Rembau baru-baru ini. – NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Seorang warga emas yang tinggal berseorangan di Kampung Tanjung, Gadong di sini, memohon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyambung semula bantuan yang diperoleh sebelum ini.

HalimahYasin, 69, berkata, bantuan sebanyak RM500 sebulan itu dihentikan pada Oktober lalu disebabkan dia berpindah dari rumah anak saudaranya di Mersing, Johor ke daerah ini.

Menurut Halimah, anak saudaranya mahu menjaganya berikutan dia menghidap penyakit kencing manis kronik, namun dia mahu pulang ke Rembau kerana selesa berada di rumah sendiri.

“Saya tidak mahu menyusahkan mereka. Untuk tempoh sebulan dua ini, saya menumpang kasih jiran yang juga kawan. Di­sebabkan sakit, saya perlu peneman di rumah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Halimah berkata, semasa muda dia mengambil upah menjahit, namun apabila sudah me­ningkat usia, dia tidak mempunyai kudrat untuk bekerja dan bergantung dengan wang JKM selama 10 tahun selain Baitulmal sebanyak RM250 sebulan.

“Duit Baitulmal memang tak cukup untuk tampung keperluan terutama untuk membeli jarum mencucuk insulin selain makanan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Gadong, Misriah Mohamed Yahaya berkata, pihaknya sedang berusaha memohon agar bantuan yang dihentikan sebelum ini disambung semula.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun BSN bernombor 0412-9290-0011-9711. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI