KETIKA deras adrenalin rakyat Malaysia dihambat pengumuman barisan Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu, pada sebelah malamnya pula berlangsung sebuah acara keraian berprestij memartabatkan industri perfileman tanah air, Festival Filem Malaysia ke-32 (FFF32) di Encore, Melaka.
Biarpun dampak penganjuran kelihatan jauh daripada pengetahuan ramai, umpama tiada, tetapi FFM tahun ini berjaya menoktahkan edisi ke-32 dengan menamakan filem komedi, Spilt Gravy arahan Datuk Zahim Albakri Ikmal sebagai Filem Terbaik dalam sebuah majlis dikira agak gilang-gemilang.

‘Untuk Jit Murad’
Selepas lebih sedekad penggambaran serta ‘disekat’ Lembaga Penapis Filem (LPF), pencapaian filem yang dibarisi pelakon ‘metode’ seperti Bernice Chauly, Sean Ghazi dan Datuk Rahim Razali tersebut ternyata sesuatu yang amat bermakna dan sungguh membanggakan buat kelompok genre karya sedemikian.
“Saya tak sangka sebab sejarah filem ini memang dah lama. Kami dah lama ‘tersangkut’. Sebenarnya, saya pun boleh dikatakan sudah lama berputus asa.
“Saya berasa ralat kerana pengkarya asalnya, Allahyarham Jit Murad tidak bersama kita. Beliau meninggal dunia Februari lalu.
“Cerita Spilt Gravy sudah bermula di pentas teater sejak 2002. Jadi, kalau kira sudah 20 tahun usianya. Kemudian jalani penggambaran untuk filem pada 2011 dan lulus ditayangkan tahun ini,” kata adik-beradik, Zahim dan Zarul Albakri.

Mengulas lanjut, Zahim atau nama lengkapnya, Zahim Albakri Ikmal Hisham Albakri berkata, kekuatan Spilt Gravy adalah cerita asalnya yang digarap bersama Allahyarham Jit, Zahim dan June Tan.
“Arwah Jit sewaktu hidupnya mungkin tidak dihargai. Skrip asalnya kuat. Beliau memang genius dan saya rasa bertuah dapat bekerjasama dengannya sejak tahun 1993 lagi.
“Beliau seorang yang sangat terbuka. Lakon layar untuk filem ini, beliau bagi ruang untuk kami bertukar idea dengan bebas. Kalau dibandingkan skrip asal (teater) dengan versi filem, jauh berbeza.
“Kerja lakon layar dibuat oleh June Tan dan arwah juga ada sumbangan bermaknanya tersendiri,” ujar Zahim, 59.

Dana setengah juta, bebas berkarya
Kemenangan tersebut melayakkan pasukan Spilt Gravy merancang sesuatu bagi meneruskan momentum kreativiti dengan hadiah Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 sumbangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
“Sebenarnya, saya agak terkejut dengan dana tersebut, tetapi sekarang sudah tentu kami nak buat filem lain.
“Itu yang paling penting. Kami akan mengekalkan pasukan sama tapi paling penting, skrip filem perlu kuat.
“Belum ada idea lagi (nak buat filem seterusnya). Jujur cakap, saya dah berputus asa sebab filem ini ‘sangkut’ lama hingga pernah rasa sangat kecewa,” jelas Zarul yang merupakan bapa saudara kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kutipan filem di panggung kurang RM1 juta dengan bajet keseluruhan pembikinan sekitar RM3 juta, Zarul memaklumkan, tujuan penghasilan Spilt Gravy yang mini boleh ditonton menerusi Netflix bukan didorong kejayaan komersial.
“Tak kisah pasal kutipan panggung. Apa yang penting, kita mahu ‘melabur’ balik kepada industri,” ujarnya.
Bercakap tentang kebebasan berkarya, Zarul dan Zahim mengharapkan Kabinet baharu yang menamakan Fahmi Fadzil sebagai ‘kepala’ Kementerian Komunikasi Digital memberi ruang kepada orang kreatif berkarya.
“Saya rasa portfolio filem dan Finas akan berada bawah kementerian Fahmi Fadzil. Bab kesenian saya tak pasti. Saya berharap industri ini (kesenian) tidak dianaktirikan atau diketepikan terutama bidang teater.
“Saya percaya Fahmi Fadzil orang teater dan dia akan lakukan sesuatu untuk bidang ini,” kata mereka.

Bintang tak hadir, inspirasi Yasmin Ahmad
Meskipun acara pada malam tersebut tidak terlalu bergemerlapan dengan kehadiran bintang-bintang komersial seperti Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy masing-masing untuk trofi Pelakon Lelaki Terbaik serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Mat Kilau), satu perkara yang pasti adalah keraian industri kreatif terus memberi apresiasi kepada muka-muka yang kurang dikenali.
Pengarah Terbaik (Small Town Heroes), Ryon Lee Eng Keong menjadikan Allahyarham Yasmin Ahmad sebagai sumber inspirasi untuk mengarah dan menghasilkan filem dengan suntikan majmuk masyarakat Malaysia.
“Yasmin Ahmad. Saya sangat suka filem garapannya berjudul Sepet. Kalau kalian tonton filem saya, ada watak wanita Melayu bernama Cikgu Aishah yang dijayakan Layla Sania. Itu semua terdorong daripada semangat karya Allahyarham Yasmin,” katanya.

Filem Small Town Heroes diadaptasi daripada kisah benar kehidupan Ryon Lee sewaktu kecil. Katanya, watak Ah Feng dan Hero adalah karakter dunia realiti dirinya dan rakan baiknya yang sudah meninggal dunia.
“Ah Feng adalah saya. Hero kawan saya, namun dia sudah meninggal dunia ketika berusia sekitar 11 atau 12 tahun disebabkan kemalangan jalan raya. Saya buat filem ini sebab memori saya sudah tidak berapa baik.
“Saya takut suatu hari nanti akan lupa semua yang berlaku dalam kehidupan. Saya gunakan filem untuk mencetak atau merekodkan kisah hidup,” ujarnya yang mendedahkan ibunya kini menghidap masalah demensia atau nyanyuk.
FFM32 berlangsung dengan sedikit carca marba terutama usai acara berakhir dalam skrin televisyen. Sudah tiba waktunya industri ini diangkat pada paras tertinggi kerana melihat kejayaan dan kemenangan yang dipilih dalam kategori masing-masing, banyak potensi cuma tidak dicernakan dengan holistik.
Kalau acara yang dicanang sebagai ‘Oscar Malaysia’, namun hadirnya tidak disedari ramai, itu satu perihal yang patut dikhuatirkan, tidak terkecuali pasukan komunikasi badan bernaung bawah industri serta kerjasama calon terlibat.
















