fbpx

Demi hak, Wafariena mahu guna saluran mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAFARIENA

PELAKON Wafariena Roslan enggan lagi berkompromi dengan pihak produksi yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kecederaan terhadapnya dalam penggambaran baru-baru ini.

Merasakan perlu mempertahankan hak terutama membabitkan soal bayaran lakonan seperti dijanjikan, bintang 7 Hari Mencintaiku itu nekad menggunakan saluran mahkamah.

Pengurus merangkap ibu Wafariena, Suzana Hamad mendedahkan, pelakon itu bukan hanya menanggung kesakitan akibat kecederaan dalaman, namun sehingga sekarang bayaran penuh dijanjikan juga masih tertangguh.

Kata wanita berusia 59 tahun itu, penerbit yang sebelum ini tampak prihatin dengan situasi dilalui anaknya belum memberi sebarang jawapan biarpun berjanji mahu melunaskan baki bayaran selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kami cuma mahu menuntut perkara dijanjikan iaitu berkenaan bayaran penuh seperti diperincikan dalam kontrak, tetapi sehingga kini kami pula kena mengemis hak sendiri.

WAFARIENA berhasrat mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut baki bayaran lakonannya dengan sebuah syarikat produksi.

Sampai bila

“Sebelum ini produser terbabit ada urusan di luar negara selain meminta pertimbangan untuk menyelesaikan hal ini selepas musim pilihan raya berakhir.

“Kali terakhir kami berhubung adalah beberapa hari lalu, namun sampai sekarang belum ada sebarang perkembangan lanjut. Itu yang membuatkan kami tertanya-tanya sampai bila perlu menunggu.

“Besar harapan Wafa (panggilan untuk Wafariena) agar pihak terbabit menyegerakan pembayaran kerana itu memang haknya, selain buat masa ini dia perlu memilih tawaran bersesuaian dengan tahap kesihatan,” katanya.

Mengakui pelakon berusia 27 tahun itu masih berada dalam fasa pemulihan, akui Suzana, anaknya positif berdepan dugaan tetapi impak terpaksa memilih tawaran bekerja sedikit sebanyak mengganggu fikirannya.

SELEPAS kecederaan dalaman akibat aksi lagak ngeri beberapa bulan lalu, buat masa ini, Wafariena dinasihatkan doktor agar tidak mengambil tawaran kerja yang menuntut banyak pergerakan fizikal.

“Dia sudah semakin pulih, namun dinasihatkan doktor supaya jangan lasak memandangkan kecederaannya membabitkan tisu di bahagian punggung, koyak di bahagian perut dan berlaku pendarahan.

“Secara luaran dia sudah boleh bekerja sejak beberapa minggu lalu dan semangatnya pun kuat untuk terus bekerja. Apa pun kena juga ikut nasihat doktor,” katanya lagi.

Dalam insiden pada 8 Oktober lalu, aktres asal Pulau Mutiara itu diminta melakonkan sebuah adegan ‘ditarik’ untuk menampakkan seolah-olah dia melambung ke udara.

Bagaimanapun, produksi memaklumkan aksi yang dijayakan pada pukul 3 pagi tersebut perlu dilakukan sendiri oleh Wafariena dan bukannya pelakon lagak ngeri seperti yang sudah dirancang lebih awal.

Isu antara Wafariena dengan rumah produksi berkenaan hangat diperkatakan selepas pengarah naskhah tersebut didakwa langsung tidak bertanya khabar dan menjaga kebajikan pelakonnya biarpun kemalangan berlaku bawah seliaannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI