PETALING JAYA – Niat untuk meluahkan segala masalah rumah tangga kepada teman yang dikenali melalui aplikasi cinta di media sosial menjadi penyebab utama lebih 500 pasangan sama ada suami atau isteri menjadi curang hingga berlaku perceraian.
Antara alasan yang menyebabkan pasangan mendaftar untuk mencari teman di aplikasi tersebut termasuk kesunyian dan perlukan seseorang sebagai tempat meluahkan perasaan untuk berkongsi masalah.
Mendedahkan perkara itu, Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, sepanjang tahun ini, beliau mengendalikan lebih 500 pasangan yang curang menerusi media sosial.
Katanya, lebih mengejutkan apabila hampir 20 peratus daripada jumlah itu telah bercerai dan selebihnya sama ada dalam proses perceraian atau sedang menjalani sesi kaunseling.
“Setiap minggu saya mengendalikan sekurang-kurangnya tiga kes berkaitan isu ini (pasangan curang). Ada yang datang mengadu sudah tawar hati dengan pasangan masing-masing.
“Ada dalam kalangan mereka dalam proses penceraian kerana cinta telah beralih kepada pasangan maya. Hampir 80 peratus yang datang adalah terdiri daripada golongan wanita,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Hushim, rata-rata mereka berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dan ada segelintir sekitar 50 hingga 60-an.
Tambahnya, kebanyakan mereka mengaku bercinta di alam maya kerana merasa sunyi kerana kurang mendapat kasih sayang daripada suami mahupun isteri.
“Ada yang mengaku tidak melakukan hubungan kelamin lebih daripada dua tahun. Bila ditanya mengapa jadi begitu, mereka kata pasangan membosankan, tidak secantik dahulu, gemuk dan berusia,” katanya.
Ujar Hushim, alasan itu digunakan oleh pasangan untuk mencari alternatif lain sama ada untuk memuaskan nafsu atau sebagai tempat meluahkan perasaan.
“Lebih teruk ada yang mengaku telah berkongsi gambar-gambar bogel dengan pasangan alam maya. Kata mereka dengan cara itu, mereka lebih bahagia,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hushim berkata, faktor lain yang menyebabkan pasangan terbabit curang adalah kerana kurangnya komunikasi dan masa bersama pasangan masing-masing terutamanya mereka yang berusia.
“Kebanyakan mereka sama ada lelaki mahupun wanita lebih mementingkan kerja selain banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan di luar. Lebih seronok menghabiskan masa dengan rakan-rakan berbanding pasangan di rumah.
“Ada pasangan mengaku sudah lama tidak bercakap walaupun tinggal sebumbung selain tidur bilik asing-asing bagi mengelakkan perbuatan mereka dihidu pasangan,” ujarnya.
Bagaimanapun tambah beliau, kebanyakan pasangan yang sedang mendapatkan sesi kaunseling adalah mereka yang kini di ambang penceraian.














