fbpx
JUNG KOOK menjadi penyanyi Asia pertama yang menyanyikan lagu tema Piala Dunia untuk edisi Qatar 2022.

Nilai inklusif, Dreamers Jung Kook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEMAM Piala Dunia FIFA Qatar 2022 baru sahaja bermula dan Jung Kook (bersama BTS) diberi penghormatan merakamkan dan menyanyikan salah sebuah antem acara sukan popular dunia tersebut menerusi peluncuran single berjudul Dreamers.

Menjalin kolaborasi dengan hitmaker yang pernah bekerjasama dengan Lady Gaga bernama RedOne, Dreamers terkandung kualiti sebuah antem bola sepak yang mempunyai peluang untuk terus diingati ramai atau mencapai status malar segar.

Sangat ‘sing-along’

Barangkali tidak mampu menyentuh atau menyamai pencapaian Shakira yang dikenali sebagai ‘ratu’ FIFA menerusi hit seperti Hips Don’t Lie, Waka Waka (This Time For Africa) dan bahkan, La La La (featuring Carlinhos Brown), namun Dreamers diisi komposisi muzik dan nukilan lirik pasa skala sama atau paling tidak, bernuansa serupa.

Pertama sekali, kalau ingin dikenang sebagai antem bola sepak sepanjang zaman, melodi atau muziknya perlulah ‘sing-along’ dan aspek tersebut itu ternyata wujud dalam Dreamers.

Buat penulis yang bukanlah seorang peminat muzik K-pop, fakta tersebut bukan penghalang untuk Dreamers dinikmati sebaik-baiknya Sedari detik pertama lagu bermula, memang sudah tersemat dalam fikiran bahawa Dreamers sememangnya sebuah lagu yang dicipta khas untuk sukan bola sepak.

Komposisi muziknya tidak meninggalkan sesiapa yang mendengar di belakang. Senang cerita, sama ada seseorang itu peminat jalur muzik, pop, rap atau apa-apa sekalipun akan terdorong rasa sama meraikan.

Ala hu la dan. Satu gaya, cara dan potongan yang sangat tepat memulakan nuansa muzik dengan memberi representasi bahawa piala dunia kali ini tuan rumahnya adalah Qatar. Sebuah negara yang kaya-raya dan pada masa sama, menghormati perbezaan idea atau pegangan kepercayaan sesiapa yang menjejakkan kaki di negara teluk tersebut.

Inklusif, orang Asia hebat!

Keberadaan atau kewujudan lagu Dreamers membuktikan sesiapa sahaja boleh diberi peluang menyinar. Jung Kook sebagai pelantun lagu tersebut membuktikan, biarpun dia seorang lelaki kelahiran Korea Selatan dan bermata sepet, dirinya juga memiliki peluang sama menyanyikan lagu tema bola sepak – satu sukan paling popular di dunia.

Itu memberi semangat inklusif kepada sesiapa sahaja. Look who we are, we are the dreamers, we make it happen, ‘cause we believe it. Nukilan lirik tersebut sahaja memberitahu kepada dunia bahawa zaman sudah berubah.

Kalau dahulu, barangkali antara syarat seseorang bintang itu diberi atau dipilih menyanyikan lagu tema piala dunia adalah mereka perlu berasal dari Amerika Latin atau negara-negara sekitar, sekarang tidak lagi memandang banyak perihal yang telah berubah.

Semua ini mungkin tidak akan berlaku kalau nama-nama seperti BTS dan Blackpink tidak terpahat kemas di Hollywood atau negara Barat.

Negara-negara Barat semestinya sudah melihat dan mengakui kehebatan muzik dari Asia yang sangat digilai di mana-mana sahaja sekarang lalu memberi laluan kepada nama seperti Jung Kook menyanyikan lagu tema kali ini.

Secara keseluruhan buat penulis, Dreamers kini tersenarai antara antem piala dunia yang berada di carta atas. Mungkin tidak sehebat rakaman lagu-lagu Shakira namun setidak-tidaknya karya kali ini tidak mengecewakan dan diterima ramai penduduk dunia.

POPULAR