fbpx

Dua pengawal keselamatan warga Nepal mati dibunuh rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa keluar mayat mangsa yang dipercayai dibunuh dalam kejadian di Pusat Komersial Oakland, Seremban di sini petang tadi.

SEREMBAN – Dua pengawal keselamatan warga Nepal ditemui maut dipercayai dibunuh oleh rakan senegaranya dalam kejadian di Pusat Komersial Oakland di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 6.25 petang.

“Pihak polis telah pergi ke tempat kejadian dan mendapati terdapat dua lelaki dipercayai warga Nepal telah mati, manakala seorang lagi lelaki juga warga Nepal dalam keadaan normal.

“Keadaan mangsa terlentang dan berada berjauhan satu sama lain. Terdapat kecederaan di bahagian muka mangsa dipercayai ada kesan hentakan,” katanya ketika di lokasi kejadian di Pusat Komersial Oakland di sini hari ini.

Nanda berkata, pemeriksaan polis juga menjumpai penukul dipercayai digunakan dalam kes tersebut.

“Kedua-dua mangsa berusia 35 dan 46 tahun masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan serta tinggal berdekatan dengan tempat kejadian.

“Tempat kejadian dipercayai dijadikan sebagai kantin untuk mendapatkan makanan bagi pekerja-pekerja pengawal keselamatan,” katanya.

Menurut Nanda, salah seorang mangsa tinggal di sebelah tempat kejadian manakala seorang lagi tinggal di bangunan belakang.

Jelas Nanda, suspek seorang lelaki warga Nepal berusia 37 tahun yang berada di tempat kejadian bersama dua mangsa telah ditahan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan berikutan terdapat berapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.

“Namun, semasa pihak polis sampai hanya terdapat tiga orang lelaki termasuk suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI