fbpx

Anwar jemput sertai Kabinet, tapi saya tolak -Gobind

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gobind semasa menyantuni penduduk sekitar Damansara hari ini.

PETALING JAYA – Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menjelaskan bahawa beliau telah menolak tawaran jawatan menteri daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata, tindakan tersebut dibuat kerana beliau mahu memberikan tumpuan kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen, namun akan membantu Kerajaan Perpaduan.

“Begitu ramai yang bertanya kenapa saya tidak tersenarai dalam Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam. Anwar meminta saya menjadi sebahagian daripada Menteri Kabinetnya.

“Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan perkara itu, saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak dapat berbuat demikian dan akan memberi tumpuan terhadap peranan saya sebagai Ahli Parlimen serta membantu kerajaan dalam segala cara yang saya boleh lakukan,” katanya di laman Facebook hari ini.

Pada masa sama, Gobind turut merakamkan penghargaan di atas peluang yang diberikan dan memberikan keyakinan terhadap kepimpinan Anwar menerajui kerajaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana meminta saya menjadi sebahagian daripada kabinetnya.

“Saya sekali lagi menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan beliau dan percaya Anwar akan berjaya membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini, semasa pentadbiran Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Gobind menjawat jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Bagaimanapun, dalam Kabinet Perpaduan yang diumumkan Anwar semalam, Gobind tidak tersenarai dalam Jemaah Menteri.

Selain Gobind, turut tidak dinamakan dalam Kabinet Anwar kali ini adalah Pengerusi Kebangsaan DAP, yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI