fbpx

Mahkamah: Jurukimpal didakwa bunuh lelaki warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ngit Soon ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini

KAJANG – Seorang jurukimpal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di kawasan parkir sebuah pasar raya di sini minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Chin Ngit Soon, 51, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wong Kim Miew, 71.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan parkir sebuah pasaraya di Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras di sini pukul 11.50 malam pada 25 November lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya
Nurul Husna Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ikat jamin dibenarkan dan mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari untuk sebutan semula kes.

Pada 26 November lalu Kosmo! Online melaporkan, seorang lelaki warga emas 71 tahun maut ditikam selepas dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, ekoran kejadian itu, pihaknya menahan sepasang suami isteri berusia 51 dan 45 tahun di sekitar Hospital Serdang dan ibu negara pada pukul 1.35 pagi.

Siasatan lanjut mendapati suspek lelaki mengaku mencederakan mangsa (si mati).

Mohd. Zaid memberitahu, pihaknya menerima maklumat daripada pegawai perubatan Wad Kecemasan Hospital Serdang yang memaklumkan menerima seorang pesakit lelaki berusia 71 tahun pada pukul 6.29 petang.

Lelaki itu dibawa ke hospital berkenaan oleh rakannya kerana mengalami kecederaan di badan akibat ditikam.

Mohd. Zaid menjelaskan, mangsa mengalami kecederaan pada paru-paru kanan, paha dan bahu. Lelaki itu meninggal dunia pada pukul 11.05 malam ketika menerima rawatan di hospital.

Sebelum meninggal dunia, mangsa sempat memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa dia diserang dan ditikam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI