fbpx

Lolos Top 5 FFM32, Idan Aedan tak letak harapan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDAN Aedan enggan letakkan harapan tinggi untuk merebut trofi Pelakon Lelaki Harapan FFM32.

KUALA LUMPUR – Enggan meletakkan sasaran apabila diumumkan sebagai calon Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) menerusi filem Anak Rimau The Movie, Idan Aedan menganggap dapat berada di kerusi Top 5 adalah atas impak kerjasama sepasukan.

Menurut pelakon berusia 18 tahun itu, semua yang menjayakan filem tersebut memberikan komitmen luar biasa walaupun ramai di antara mereka pertama kali berada di depan kamera.

“Sebenarnya saya terkejut apabila diumumkan sebagai finalis FFM32 memandangkan ramai pelakon lain yang hebat, tetapi saya yakin pencalonan ini juga disebabkan kerjasama berpasukan semua yang terbabit dalam filem ini.

“Saya enggan letak harapan tinggi kerana melihat senarai aktor lain dalam kategori sama juga bukan calang-calang serta punya potensi besar,” katanya. 

Katanya, sebagai orang baharu dalam dunia perfileman, dia berasa teruja kerana dapat mewakili filem tersebut ke FFM32.

“Menang atau kalah adat, tetapi mampu bolos sebagai Top 5 membuatkan saya mahu belajar lebih lagi terutama daripada pelakon senior, bukan rasa diri sudah bagus,” katanya kepada Kosmo! Online.

Dalam kategori tersebut, pelakon remaja itu bersaing dengan JJ Ng Jinn Jou menerusi filem The Rise Of Lion, Abbas Mamood (Rasuk), MK K-Clique (Rompak) dan Jaa Suzuran (Auntumn In Wales).

Malam kemuncak FFM32 yang bertemakan Filem Kita, Citra Kita bakal menggegarkan Encore, Melaka dan disiarkan secara langsung menerusi TV2 bermula pukul 9 malam ini.

Sementara itu, Idan yang menceburi dunia hiburan seawal usia 10 tahun memaklumkan sentiasa dahagakan naskhah baharu termasuk produksi televisyen.

Akui anak muda yang petah berbicara itu, tidak sesekali dia memilih antara layar perak dan televisyen, sebaliknya rezeki banyak datang daripada produksi filem.

“Sama ada drama televisyen atau filem, kedua-duanya memberikan cabaran tersendiri dan membuatkan saya sentiasa ternanti-nanti peluang diberikan.

“Saya juga boleh dikatakan masih hijau, sekali gus perlukan banyak lagi pendedahan supaya dapat memberikan hasil lakonan terbaik,” katanya.

Terdahulu, lakonan Idan dalam siri Mr. Midnight: Beware The Monster tayangan Netflix global turut meraih pujian ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI