fbpx

Influencer bukan kerjaya hanya jadi hobi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NUR AL-FAIRUZA SYARFA NIOR SAIDI, WARTWAN EKSEKUTIF

MARCAPADA anak muda lebih gemar memfokuskan kepada media sosial seperti TikTok, Instagram mahupun Twitter berbanding membelek buku atau sumber bacaan yang boleh dipercayai untuk merujuk sesuatu perkara yang sahih.

Tindakan tersebut menyebabkan ramai pempengaruh popular muncul dalam pelbagai peringkat umur untuk menjadi seorang individu yang mampu menjadi rujukan dalam apa jua perkara sehingga sanggup me­lakukan apa sahaja demi mendapatkan jumlah pengikut.

Bagaimanapun, selaras de­ngan situasi ekonomi yang semakin rancak, isu ini tidak seharusnya diambil enteng supaya Malaysia berada setanding de­ngan negara lain menjadi pengeluar utama.

Kekurangan tenaga profesio­nal dalam negara dilihat semakin serius lebih-lebih lagi apabila ramai yang mula menukar profesion menjadi pempe­ngaruh po­pular termasuk pelajar
lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut perunding kerjaya, Nik Akmal Afif Nik Othman, anak muda seharusnya memilih profesion tenaga pakar dan tidak menjadikan ‘influencer’ sebagai satu kerjaya tetapi boleh dibuat hobi atau kerja separuh masa.

“Negara kita sememangnya ketandusan tenaga pakar yang boleh berfikiran luar kotak untuk mencipta sesuatu perkara baharu.

“Ia satu perkara yang sangat baik apabila anak muda Malaysia lebih terbuka untuk melihat profesion tenaga pakar adalah kerjaya jangka masa panjang untuk menyumbang kepada negara.

“Sebaiknya, anak muda sekarang pergi ke bidang profesional dan jadikan ‘influencer’ sebagai hobi atau kerja separuh masa,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, melihat kepada trend terkini anak muda sememangnya lebih tertarik untuk mengikuti atau meniru pempe­ngaruh popular kegemaran mereka sebagai satu batu lonca­tan dan berhasrat untuk berada di kedudukan yang sama.

Jelas Nik, generasi kini mempunyai lebih banyak pilihan dan peluang terbaik dalam kerjaya berbanding zaman dahulu. Bagaimanapun, jika berminat untuk menjadi pempengaruh popular, jadilah seorang ‘influencer’ celik akal.

“Kita boleh ambil contoh se­perti Khairul Aming iaitu seorang pempengaruh paling po­pular yang pernah belajar dalam bidang kejuruteraan di Amerika Syarikat.

“Khairul Aming bukan lompat menjadi ‘influencer’ tetapi dia membina tapak terlebih dahulu sebelum menjadi pempengaruh popular yang boleh meraih pendapatan lebih daripada kerjaya sebelum ini.

“Itu bezanya ‘influencer’ berpendidikan yang mampu menghasilkan kandungan berkualiti dan matang serta tahu hala tuju kerjayanya,” tegasnya.

Pada akhirnya, populariti dan pengaruh yang dibawa oleh ‘influencer’ tidak akan berkekalan dalam jangka masa panjang ke­rana akan ada lambakan dalam kerjaya tersebut pada masa akan datang.

Ilmu dan pendidikan sahaja yang boleh membawa seseorang individu ke tahap yang lebih baik walaupun melalui apa jua peredaran zaman.

Tambah Nik, perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi apabila ramai anak muda memilih untuk tidak meneruskan pembelajaran untuk fokus ke arah menjadi ‘influen­cer’.

“Pendidikan boleh membekalkan skil bekerja dalam mana-mana negara. Jika ramai yang berhenti belajar bagaimana negara boleh melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi.

“Bukan sahaja dari segi akademik, malah anak muda juga boleh meneruskan pembelajaran dalam aliran TVET dan kuasai sesuatu bidang.

“Cuba untuk ambil kemahiran TVET dan cuba untuk selami ilmu tersebut supaya dapat memberikan hasil lumayan buat ekonomi negara,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI