fbpx

Tanah mendap, tiga kereta menggelongsor masuk cerun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga kereta menggelongsor ke dalam cerun dalam kejadian tanah mendap di Taman Bukit Berlian, Seremban.

SEREMBAN – Tiga kereta menggelongsor dan terjatuh ke dalam cerun sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian tanah mendap dan runtuh di Taman Bukit Berlian di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi itu, jalan di hadapan rumah penduduk di Jalan Berlian 5 turut merekah sepanjang kira-kira 80 meter dengan kedalaman mencecah 0.6 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Seremban, Mohd. Nizam Tajul Arus berkata, hujan lebat mengakibatkan tebing jalan utama mendap dan berbahaya kepada penduduk.

“Terdapat 12 rumah yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian, buat masa ini kita sedang membuat pemantauan supaya penduduk yang terjejas mengosongkan rumah mereka.

“Kita nasihatkan penduduk keluar dari rumah segera kerana dikhuatiri pergerakan tanah masih berlaku. Kerja-kerja baik pulih akan dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS),” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau telah melawat lokasi kejadian bersama Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Chew Seh Yong.

Turut sama turun ke lokasi Ketua Balai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof.

Seorang penduduk, Jessica Lee, 28, berkata, ketika kejadian semua ahli keluarga sudah tidur sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi bising daripada rumah jiran memaklumkan terdapat kereta yang terjatuh ke dalam cerun.

“Saya segera bangun dan kejutkan ahli keluarga lain, apabila keluar saya dapati tiga kereta kami yang diletakkan di seberang jalan di hadapan rumah sudah berada di kawasan runtuhan cerun.

“Perasaan memang takut kerana jalan sudah merekah, kami semua tidak dapat tidur hingga pagi,” katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.52 pagi, pihak bomba yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati terdapat tiga kereta iaitu Kia Forte, Honda City dan Toyota Avanza berada di kawasan cerun yang runtuh.

“Selain itu, terdapat rekahan pada jalan di hadapan rumah. Dalam pemerhatian awal pihak bomba dapati ada enam rumah di kawasan itu mungkin terjejas dan berisiko dengan kejadian runtuhan ini.

“Mereka bersetuju untuk berpindah dan kami difahamkan pihak kerajaan negeri akan membuka satu pusat pemindahan sementara (PPS) bagi penduduk yang memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI