fbpx
Orang ramai mengambil peluang bergambar di sekitar Kampung Agong di Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang menempatkan pelbagai jenis sarang burung.

Populariti Kampung Agong, ‘taman tema agro’ ratusan pohon kelapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Melangkah masuk ke Kampung Agong di Penaga, Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang ternyata menggamit memori silam apabila disajikan keindahan suasana desa yang masih terpelihara daripada hiruk-pikuk kota.

Hamparan sawah padi yang menghijau dihiasi lambaian pepohon nyiur mendamaikan menjadikan kampung tersebut destinasi pelancongan popular di negeri Pulau Pinang kala ini.

Ratusan pokok kelapa menghiasi kawasan seluas 6.07 hektar itu yang turut dilengkapi pelbagai fasiliti khusus buat pengunjung dalam dan luar negara yang mahu bersembunyi seketika daripada kesibukan kota.

Boleh dikatakan setiap sudut kampung yang tular ini menjadi perhatian pelancong yang mahu bergambar bagi mengabadikan kenangan tatkala berkunjung ke sini.

Menyingkap kembali sejarah pembukaan kampung ini, segala-galanya bermula pada tahun 1942 apabila kawasan lapang yang dikelilingi sawah ini dijadikan ladang penanaman kelapa oleh pengasasnya yang dikenali sebagai ‘Agong’ oleh penduduk setempat.

Bagaimanapun, hanya pada awal tahun 2019, kawasan ini dibuka kepada orang ramai selepas pelbagai pengubahsuaian dijalankan antaranya sebuah rumah kampung tradisional Melayu ditempatkan di ladang bekenaan untuk dijadikan inap desa pertama.

Kewujudan rumah-rumah kampung tradisional menggamit suasana silam.

Tidak cukup dengan itu, 15 replika bercirikan sarang burung ala Bali dibina secara berperingkat di lokasi sama sekali gus menjadi salah satu tarikan pelancong yang berkunjung ke sini.

Kini, kampung ini dibangunkan oleh waris individu bernama Agong tersebut menjadi ‘taman tema agro’ di mana orang ramai boleh membuat pelbagai aktiviti seperti inap desa, melawat kebun buahan tropika, berbasikal, menunggang kuda, bermain congkak, jongkang-jongket tradisional daripada batang pokok kelapa dan banyak lagi.

Kampung ini turut dilengkapi pelantar, kafe, wakaf istirahat, buaian gantung dan surau dan tram kampung.

Dianggarkan terdapat hampir 500 pokok kelapa di situ dengan makluman mengenai pokok tertuanya turut disediakan. Pokok kelapa itu ditanam dengan baja organik dan hasil tanaman boleh dikutip sebanyak empat kali setahun.

Pegawai Pemasaran Kampung Agong, Mohamad Ikram Izzat Roslan berkata, kampung terbabit menjadi tumpuan terutama semasa hujung minggu dan cuti sekolah.

“Sepanjang tiga tahun beroperasi, kampung ini menjadi perhatian pelancong tempatan dan luar negara yang mahukan kelainan tatkala bercuti.

“Selain pelbagai sudut dan lokasi menarik untuk bergambar, kampung ini menjadi tempat beriadah bagi mereka yang datang bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

“Ada juga yang habiskan masa seharian di sini dengan berkelah sambil menikmati pemandangan semula jadi yang menenangkan,” katanya.

Orang ramai menaiki tram kampung untuk menjelajah Kampung Agong.

Tambahnya lagi, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di kampung terbabit termasuk merasai suasana bermalam di empat inap desa yang disediakan.

“Jika mahukan kelainan, tapak perkhemahan turut disediakan dan boleh diakses secara berkumpulan terhad kepada 25 orang pada satu masa,” katanya.

Tambah Mohamad Ikram, kebanyakan dalam kalangan pengunjung sendiri yang mempopularkan Kampung Agong dengan memuat naik pelbagai gambar dan video menerusi media sosial.

“Justeru, penambahbaikan akan terus berjalan dan antara tarikan terbaharu bakal dilaksanakan adalah zoo mini yang dijangka dapat merancakkan lagi aktiviti di sini,” katanya.

Bagi Abdul Halim Hamzah, 31, dari Lembah Klang, pengalaman berkunjung ke Kampung Agong meninggalkan memori indah buat beliau sekeluarga.

“Kami sekeluarga menaiki ETS dari Kajang sempena cuti sekolah dan sejujurnya sarang-sarang burung yang terdapat di sini amat menarik,” katanya.

Pengunjung dari Manjung, Perak, Shahidatul Izwa Azman Shah, 42, pula berkata, dia sekeluarga memang tahu populariti kampung ini menerusi media sosial.

“Seronok rasanya dapat melihat sendiri keindahan kampung dan banyak lokasi cantik untuk kita bergambar.

“Cuma, saya harap pihak pengurusan dapat menambah bilangan parkir kerana kawasan ini agak sesak terutama semasa cuti sekolah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN