fbpx

Mangsa banjir di Dengkil meningkat kepada 189 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kawasan perumahan di pekan Dengkil yang dinaiki air malam tadi. - Foto IHSAN BOMBA SELANGOR

DENGKIL – Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sini malam tadi susulan banjir melanda beberapa kawasan yang menjadikan keseluruhan mangsa banjir meningkat kepada 189 orang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, PPS yang dibuka malam tadi adalah Dewan Orang Ramai Kampung Dato’ Ahmad Razali yang menempatkan 81 mangsa banjir daripada 20 keluarga.

Beliau berkata, PPS baharu itu menempatkan mangsa dari Kampung Cemperai dan kesemua mereka dipindahkan bermula pukul 10 malam tadi.

“Buat masa ini, dua lagi PPS masing-masing beroperasi di Dewan Komuniti Taman Gemilang yang menempatkan 62 mangsa manakala, Dewan Orang Ramai Dengkil pula menempatkan 81 mangsa.

“Kedua-dua PPS itu dibuka pada Selasa lalu dan mangsa banjir tidak dibenarkan lagi pulang ke rumah kerana keadaan masih tidak selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, buat masa ini, tiga kampung masih terjejas banjir iaitu Kampung Ampar Tenang, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Cemperai.

Dalam pada itu, paras air di Sungai Langat di Dengkil mencecah 7.85 meter malam tadi iaitu melebihi paras bahaya (7.5 meter).

Pada 18 November lalu, beberapa kampung dilanda banjir kilat akibat limpahan air sungai di jajaran Sungai Langat iaitu Sungai Melut dan Sungai Lalang, di sini.

Dalam kejadian itu, lebih 1,000 mangsa banjir dipindahkan di lapan PPS sekitar Dengkil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI