fbpx

Kerajaan negeri Perak bangunkan asrama penginapan pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (kiri) melawat projek penginapan pekerja berpusat di Asrama Murni Jelapang, Ipoh hari ini. - Foto LIYANA RAMLI

IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bersama kerajaan negeri melaksanakan projek Pembangunan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) yang mampu menempatkan 12,000 pekerja asing di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang mampu menempatkan sehingga 368 pekerja ini merupakan kerjasama awam dan swasta.

“Projek perintis CLQ ini menandakan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong kadar pertumbuhan pesat pembangunan perindustrian di Perak.

“Pembangunan ini juga sejajar dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang turut bersandarkan lima prinsip asas dalam usaha memacu pembangunan sosioekonomi mapan, inklusif dan dinamik,” katanya di sini hari ini.

Katanya, projek itu telah pun mula menampung pekerja dari syarikat multinasional utama seperti Carsem dengan menawarkan standard tinggi dan perkhidmatan nilai tambah.

“Kerajaan negeri melalui PKNPk telah berbincang dengan lebih banyak syarikat antarabangsa dan domestik untuk menyokong manfaat CLQ dan yakin boleh mendapatkan lebih banyak penyewa pada masa hadapan,” katanya.

Saarani berkata, kejayaan projek perintis CLQ di Asrama Murni Jelapang itu akan dijadikan model penanda aras bagi membangunkan projek tersebut di kawasan-kawasan berpotensi tinggi di Perak.

“Projek ini tertumpu di kawasan perindustrian berskala besar dengan bilangan pekerja asing yang tinggi seperti di Kawasan Estet Perindustrian Kerian, Taman Perindustrian Kamunting.

“Contoh lain ialah Silver Valley Technology Park (SVTP), Kawasan Perindustrian Daerah Kinta, Tanjung Malim, Taman Perindustrian Bemban, LMT 2 di daerah Manjung serta Seri Iskandar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI