fbpx

TNB siasat kejadian kanak-kanak maut dihempap tiang elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba sedang mengangkat mayat seorang kanak-kanak yang maut dihempap tiang elektrik di di Jalan K16, Kampung Belukar, Changlun Kedah petang semalam.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menyiasat kejadian seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia ketika bermain di kawasan simpanan sementara tiang-tiang elektrik bagi tujuan projek di Jalan K16, Kampung Belukar, Changlun Kedah petang semalam.

TNB dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta bersimpati dengan keluarga dua lagi kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital Jitra.

“TNB sendiri sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkenaan.

“TNB mengulangi peringatan kepada orang ramai tidak menghampiri tapak kerja dan menyentuh barang-barang binaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” kata kenyataan itu hari ini.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan maut manakala dua lagi tidak sedarkan diri akibat dihempap longgokan tiang elektrik dalam kejadian di Kampung Belukar, Changlun.

Tiga mangsa itu dipercayai berusia lingkungan 11 tahun dengan seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku ketika tiga kanak-kanak terbabit bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokan di tepi jalan sebelum tiang itu terjatuh dan menghempap mereka.

Dalam pada itu, TNB turut memaklumkan menghantar wakil menziarahi keluarga mangsa dan memberi bantuan yang sewajarnya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian ini dan membuat spekulasi.

“Sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan sisatan di samping menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa,” kata TNB. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI