fbpx

Piala Dunia: Gol Pulisic bantu Amerika Syarikat kecewakan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain-pemain Amerika Syarikat meraikan kejayaan mara ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Iran 1-0 sebentar tadi.

DOHA – Perebutan slot ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 menjadi milik Amerika Syarikat (AS) selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Iran pada aksi Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Al Thumama sebentar tadi.

Pasukan dari zon Amerika Utara itu jelas menepati ramalan apabila menguasai sepenuhnya permainan bagi mengutip tiga mata, sekali gus memastikan tempat ke pusingan seterusnya selaku naib juara Kumpulan B di belakang England.

Sejak awal perlawanan lagi skuad kendalian Gregg Berhalter itu melakukan asakan bertali arus ke arah pintu gol Iran menerusi trio serangan yang dibarisi Christian Pulisic, Josh Sargent dan Timothy Weah.

Kedua-dua pasukan sedar hanya kemenangan yang mampu membawa mereka ke pusingan kalah mati dan ia dapat dilihat apabila mereka saling berbalas serangan, namun AS nyata pasukan lebih baik.

Selepas melakukan percubaan demi percubaan, Pulisic akhirnya memecah kebuntuan apabila meledak gol kemenangan pasukannya pada minit ke-38 selepas menolak masuk hantaran yang dilakukan bek kanan, Sergino Dest.

Tamat separuh masa pertama, AS jelas pasukan lebih baik apabila melakukan sembilan percubaan ke arah pintu gol Iran manakala wakil Asia itu gagal menguji penjaga gol lawan, Matt Turner.

Bersambung separuh masa kedua, Iran tampil dengan aksi lebih agresif apabila berjaya mengancam pintu gol AS dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-64 menerusi Saman Ghoddos, namun percubaan yang dilakukan sekadar melewati tiang.

Kebangkitan yang cuba dilakukan skuad kendalian Carlos Queiroz itu nyata meningkatkan tempo permainan kedua-dua pasukan, sekali gus menjadikan permainan lebih menarik jika dibandingkan dengan aksi separuh masa pertama.

Berbaki 10 minit, AS mula mengendurkan asakan dan dilihat lebih banyak bertahan sehingga membolehkan Iran melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gol mereka bagi memburu gol penyamaan.

Walaupun diasak bertubi-tubi, namun skuad The Yanks berjaya memastikan pintu gol mereka selamat biarpun pengadil perlawanan melanjutkan permainan dengan sembilan minit masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI