fbpx

Tunggang motosikal dari Mentakab ke Pasir Gudang untuk mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR FAZILAH sanggup merempuh perjalanan jauh dengan motosikal demi menunaikan tanggungjawab mengundi dan anak-anak.

SEGAMAT – Seorang ibu tunggal sanggup menunggang motosikal bersama anaknya dari Mentakab, Pahang ke Kota Masai, Pasir Gudang, Johor sejauh 687.6 kilometer pergi dan balik demi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

Nur Fazilah Nin, 39, tular di media sosial apabila berhenti di salah satu lampu isyarat di Labis, Segamat sambil menunggang motosikal bersama anak­nya berusia dua tahun dirakam orang awam.

“Bulan lepas saya menunggang motosikal ke Johor Bahru kerana rindu pada anak sulung. Bulan ini, saya menunggang lagi demi secelup dakwat (mengundi) di Parlimen Tebrau (P158).

“Ramai yang kecam saya bawa anak kecil naik motosikal jauh-jauh, tetapi saya tiada pilihan. Itu saja kende­raan yang saya ada. Kalau naik bas, ba­nyak pula kos yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, dia mempu­nyai dua orang anak perem­puan.
Katanya, anak sulungnya berumur tujuh tahun dijaga ibunya di Kota Masai, manakala anak bongsu berusia dua tahun dijaga olehnya.

Anak sulungnya bersekolah di Johor Bahru kerana selesa mempunyai rakan-rakan serta guru yang serasi dengannya.

Nur Fazilah turut mengakui, dia juga perlu menyimpan wang bagi persiapan persekolahan anaknya tahun depan.

Dia yang bekerja sebagai pembancuh air tekad berhijrah ke Mentakab untuk mencari pengalaman hidup lebih baik.

“Perjalanan dan dugaan hidup kita semua berbeza. Setiap yang Allah uji pasti ada hikmahnya.

“Saya memilih untuk berdiri atas kaki sendiri agar tidak menyusahkan orang lain. Tentang anak saya, sebagai seorang ibu, saya sendiri sebak sebab bawa dia tunggang motosikal.

“Alhamdulillah, semuanya berlalu dengan baik,” ujarnya.
Nur Fazilah turut berterima kasih kepada individu yang dikenali sebagai Cikgu Nazli yang me­nyiarkan perjalanannya di Facebook The Solo Rider (Malaysia) dengan niat jika ada penunggang motosikal yang menghala ke Mentakab, boleh sama-sama bergerak dengannya demi keselamatan.

Orang ramai yang ingin ­menghulurkan bantuan kepada Nur Fazilah, boleh menghubu­nginya di talian 017-770 8564.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI