fbpx

Inovasi Palm Fiber terima Anugerah Enterprise E50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaidi (kanan) bersama Norazwa selepas menunjukkan anugerah yang diterima syarikat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Hasil inovasi syarikat Palm Fiber memproses batang kelapa sawit yang telah ditebang untuk dijadikan produk hiliran lain telah membuahkan hasil apabila syarikat telah diiktiraf dan terpilih memenangi Anugerah Enterprise E50 tahun 2022.

Syarikat Palm Fiber yang beroperasi di Seri Kembangan itu te­lah menggunakan teknologi moden untuk memproses batang kelapa sawit bagi mendapatkan serat daripada batang pokok komoditi bernilai itu menjadi makanan tambahan dan bahan campuran produk bukan makanan.

Pengarah Urusannya, Mohd. Suhaidi Jaapar berkata, penyelidikan terhadap batang kelapa sawit telah dimulakan sejak tahun 2014 untuk memfokuskan kepada segmen produk hiliran.

“Buat masa ini, sangat sedikit kajian terhadap kelebihan batang kelapa sawit, oleh itu, kami telah menjalankan penyelidikan dan kerjasama dengan Fakulti Bioproses Kejuruteraan (Foberg) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor yang dike­tuai oleh penyelidiknya, Dr. Ida Idayu Muhammad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis penyampaian Anugerah Enterprise E50 2022 anjuran SME Corp dan juga Deloitte Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Suriani Ahmad; Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussein Al-Habshee dan Ketua Eksekutif Deloitte Malaysia, Yee Wing Peng serta Pengarah Palm Fiber, ­No­r­azwa Mustapha.

Mengulas lanjut, Norazwa menjelaskan, Palm Fi­ber adalah pengeluar produk ­berasaskan serat daripada batang pokok kelapa sawit atau dikenali sebagai Oil Palm Trunk Fibre (OPTF).

Melalui sumber tersebut, syarikat telah berjaya menghasilkan produk makanan tambahan berasaskan kandungan serat yang tinggi.

“Serat batang pokok kelapa sawit diproses dalam bentuk serbuk (teh) dan dijadikan minuman yang mengandungi kadar tinggi serat untuk penjagaan usus dan sistem pencernaan yang baik.

“Bagi kategori bukan makanan pula, OPTF dipro­ses menjadi serbuk dan separa serbuk untuk dijadikan makanan haiwan, bahan pembersihan najis haiwan serta campuran untuk pembungkusan biodegradasi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI