fbpx

Demi kereta, Fauziah Nawi pernah masuk cabutan bertuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK pernah menang trofi pelakon terbaik, namun anugerah Tokoh Seri Angkasa pada ASA 2022 memberikan hadiah bermakna buat Fauziah memudahkan urusan sehariannya.

IMPIAN seniwati veteran Fauziah Nawi untuk memiliki kenderaan sendiri akhirnya tercapai apabila menerima kereta Mitsubishi Xpander bernilai RM100,000 tajaan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).

Fauziah, 69, seakan-akan tidak percaya apabila kereta hadiah kemenangan anugerah Tokoh Seri Angkasa dalam Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022) kini menjadi miliknya.

“Saya sangat bersyukur kerana memang langsung tidak terfikir untuk mendapat kereta. Sebab sepanjang 50 tahun bergelar pelakon saya tidak pernah membawa pulang anugerah pelakon terbaik,” kongsi Fauziah yang ditemui pada majlis penyerahan kunci kereta di EON Auto Mart, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut bintang drama Pondok Buruk itu, sudah empat tahun dia bergerak tanpa kenderaan apabila kereta terakhirnya iaitu Proton Waja telah terbakar akibat masalah fius.

Sejak dari situ, Fauziah mengidamkan untuk memiliki kenderaan sendiri bagi memudahkan kehidupan sehariannya keluar bekerja.

“Sebelum menerima hadiah kejutan kereta pada ASA2022, saya mencuba nasib menyertai cabutan bertuah dengan membeli barang berharga RM30, tetapi tiada rezeki ketika itu.

“Sebab saya memang ingin kereta sendiri, tetapi dengan usia yang lanjut sukar untuk saya membuat pinjaman bank. Ini rezeki Allah yang cukup besar buat saya,” tutur Fauziah.

Ditebak apakah perasaannya apabila melihat kereta yang dihadiahkan itu di depan mata dan menggunakannya bersama keluarga, Fauziah tersenyum gembira.

“Seronok sangat, tidak tahu saya hendak kata apa lagi selain syukur dan terima kasih. Rakan-rakan seangkatan dan jiran-jiran juga tumpang seronok. Mereka semua tertanya-tanya bilakah saya akan dapat bawa balik kereta ini,” tutur Fauziah jujur.

Sambung bicara, Fauziah menyifatkan penerimaan kereta ini adalah signifikan atas usaha kerasnya tanpa mengenal erti putus asa dalam industri seni.

Meskipun tidak hidup senang dan terpaksa berhempas-pulas sebagai anak seni, Fauziah percaya andai melakukan kerja sebaik mungkin, akhirnya bakat dan rezeki akan berpihak kepadanya.

“Guru saya kata, buat sahaja kerja sebaik mungkin, lama-kelamaan orang akan nampak juga bakat kita. Begitu juga dengan rezeki, kita harus sabar.

“Lebih 50 tahun pada usia emas begini baru Allah bagi saya rezeki yang cukup besar. Allah suruh saya sabar dan tunggu,” kata Fauziah lagi.

Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Strategik DRB-HICOM, Mahmood Razak Bahman menjelaskan, pihaknya bersyukur dan berbesar hati apabila dapat terlibat dalam anugerah berprestij seperti ASA2022.

“Ketika mendengar cerita Ibu Fauziah di atas pentas tentang ketiadaan kenderaan dengan penuh emosi, saya sendiri berasa sebak.

“Saya dan kakitangan yang hadir pada majlis tersebut merasakan hadiah kami cukup bermakna kerana menyediakan sebuah kereta yang amat diperlukan ibu Fauziah.

“Sebagai antara konglomerat terbesar, DRB-HICOM melalui anak syarikat, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) gembira dapat memainkan peranan kecil membantu dan menyokong industri kreatif tempatan,” ujar Mahmood.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI