fbpx
Syazreen Ezam bercakap kepada pemberita ketika hadir membuat laporan polis berhubung dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel di IPD Putrajaya di sini hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

AMK Putrajaya gesa polis siasat tuduhan PM ejen Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) cawangan Putrajaya menggesa pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan fitnah mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Ketua AMK Putrajaya, Syazreen Ezam Saidi berkata, pihaknya menyedari bahawa sebaik sahaja Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri minggu lalu, tohmahan dan fitnah terus berpanjangan dengan memainkan sentimen perkauman dan agama selain menuduh beliau sebagai ejen Israel.

“Umum mengetahui bahawa proses lantikan Perdana Menteri minggu lalu berjalan dengan lancar dan beliau (Anwar) telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu keseluruhannya.

“Saya lihat ini (tuduhan ejen Israel) bukan perkara yang boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara serta melibatkan dua negara,” katanya ketika ditemui ketika hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, Syazreen Ezam dengan ditemani beberapa orang wakil AMK Putrajaya hadir ke IPD Putrajaya kira-kira pukul 1 tengah hari bagi membuat laporan berhubung perkara tersebut.

Menurut Syazreen Ezam, pihaknya ingin menggesa polis supaya membuka kertas siasatan agar tuduhan-tuduhan fitnah yang tidak berasas itu dapat diambil tindakan dan tidak berpanjangan.

“AMK Putrajaya juga telah menyediakan beberapa bahan bukti untuk mengaitkan individu tertentu yang dikesan melalui platform Facebook dan rakaman audio yang tular melalui aplikasi Whatsapp yang mendakwa Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

“Saya ingin menegaskan bahawa tindakan sebegini perlu dihentikan segera dan diambil tindakan agar tidak mengganggu gugat kelancaran perkhidmatan beliau (Anwar) sebagai Perdana Menteri Malaysia,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara tersebut dan tindakan lanjut sedang dilakukan pihak mereka.

Semalam, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil dilapor memaklumkan bahawa Anwar telah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak yang mengaitkan beliau sebagai ejen Israel.

Fahmi juga mengesahkan bahawa Pakatan Harapan (PH) turut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan pengerusi gabungan tersebut sebagai ejen Israel. – KOSMO! ONLINE

POPULAR